GIBRAN dan Selvi.

Solo: Sebanyak 300 beca akan digunakan untuk membawa tetamu dari tempat letak kereta ke sebuah dewan, lokasi majlis perkahwinan putera sulung Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) pada 11 Jun ini.

Beca itu digunakan kerana jarak tempat letak kenderaan dan lokasi majlis resepsi putera Jokowi, Gibran Rakabuming Raka dan pasangannya, bekas Ratu Cantik Solo Selvi Ananda agak jauh.

“Ya kami menyediakan beca untuk menghantar tetamu dari tempat letak kereta ke dewan Graha Saba Buana, lokasi majlis berlangsung.

“Jaraknya agak jauh dan kurang sesuai tetamu berjalan kaki,” kata Datuk Bandar Surakarta, Hadi Rudyatmo.

Sementara itu, polis berkata, seramai 628 anggota keselamatan dikerahkan untuk mengawal keselamatan sepanjang majlis berlangsung.

“Kami membuat kawalan keselamatan yang ketat sepanjang majlis ini,” kata ketua polis Surakarta, Achmad Lutfi.

Ujarnya, kawalan keselamatan pada majlis itu disertai beberapa pasukan bersenjata termasuklah unit kawalan presiden, tentera dan polis.

“Semua wilayah di bandar ini juga akan diberi kawalan yang ketat,” tegasnya.

Menurutnya, polis masih belum menetapkan laluan di bandar itu yang bakal digunakan untuk membawa tetamu negara ke lokasi majlis. -Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mei 2015 @ 6:52 AM