Kuala Lumpur: Tumpuan Megah Development Sdn Bhd (Tumpuan Megah), syarikat penyedia perkhidmatan bunkering (pembekalan minyak) daripada kapal ke kapal (STS) menerusi anak syarikatnya, TMD Bunker Labuan Sdn Bhd (TMD Bunker) melebarkan sayap operasi perkhidmatannya ke Pelabuhan Labuan, Sabah bermula 1 November ini.

Penasihat dan pengasas Tumpuan Megah, Tan Sri Dr Jason Goh Teck Chai berkata, operasi di Labuan itu dijalankan menerusi perikatan strategik dengan operator utama Pelabuhan Labuan iaitu Asian Supply Base Sdn Bhd (ASB) yang juga anak syarikat Sabah Energy Corporation Sdn Bhd.

Beliau berkata, keputusan untuk beroperasi di Labuan dibuat kerana ia menawarkan peluang pasaran yang lebih meluas berikutan jumlah kapal yang menggunakan pelabuhan itu ketika ini ialah lebih 800 buah sebulan berbanding 250 kapal di Kemaman, Terengganu.

“Kebanyakan operator kapal di Pelabuhan Labuan juga adalah pelanggan kami di Pelabuhan Kemaman dan ini secara langsung memberi kelebihan serta peluang kepada kami yang memiliki lesen perkhidmatan bunkering yang dibenarkan dibawah Akta Kemajuan Petroleum 1974 (Kebenaran PDA).

“Kami dilantik secara eksklusif oleh ASB sebagai operator utama untuk menyediakan perkhidmatan STS di sini dan sebagai permulaan, kami akan menggunakan sebuah kapal dikenali sebagai Dolphin 1 yang mempunyai kapasiti membawa sehingga 1.12 juta liter minyak,” katanya dalam pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif ASB, Datuk Harris Annuar Tan dan Pengerusi TMD Bunker, Tan Sri Mohd Bakri Zinin di Labuan, Sabah, baru-baru ini.

Tumpuan Megah dalam kenyataannya berkata, ketika ini, syarikat mempunyai keupayaan membekalkan sehingga 10 juta liter minyak diesel sebulan dan menjangkakan Pelabuhan Labuan akan meningkatkan operasi pengendalian kepada kira-kira 20 hingga 25 juta liter sebulan dengan sasaran perolehan kumpulan RM400 juta setahun.

Antara pelanggan syarikat ketika ini ialah Talisman Malaysia Ltd, Sapura Kencana Petroleum Bhd, Bumi Armada Bhd, Alam Maritim Sdn Bhd dan Icon Offshore Bhd.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Oktober 2014 @ 5:24 AM