SINONIM pemakaian 3 kaum di Malaysia kini dipelbagaikan sebagai cenderamata, hiasan dinding.

Cucuk sanggul antara salah satu perhiasan diri bagi wanita Melayu, India dan Cina peranakan untuk mendandan rambut mereka yang panjang mengurai dan lebat.

Peranan utama cucuk sanggul yang sebenar ialah untuk menyemat dan menahan sanggul supaya tidak terburai.

Jumlah cucuk sanggul yang dipakai berbeza mengikut situasi dan tempat.

Bagi wanita dewasa pemakaian sebatang cucuk sanggul apabila berada di rumah sudah memadai.

Bilangan itu ditambah kepada tiga, lima atau tujuh batang apabila keluar menziarahi jiran tetangga selain ke pekan untuk membeli-belah.

Hulu cucuk sanggul biasanya dicorak dengan hiasan yang indah dan menawan dan diukir dengan bentuk yang menarik.

Ia seperti corak tumbuh-tumbuhan menjalar atau bunga-bungaan bagi menyerlahkan lagi kejelitaan wajah wanita.

Cucuk sanggul seperti ini direka bentuk daripada pelbagai jenis logam seperti tembaga, perak, suasa dan emas.

Reka coraknya dihiasi pula dengan beberapa biji batu permata yang beraneka warna atau terdapat juga hanya sebiji mutiara yang besar di atasnya.

Bagi suku kaum Orang Asli, buluh atau kayu dijadikan sebagai cucuk sanggul selepas ia diukir dengan cukup teliti dan menarik sekali.

Pada masa dahulu wanita serikandi menggunakan senjata pendek seperti kerambit atau lawi ayam sebagai cucuk sanggul. Namun kini undang-undang sudah melarang wanita memakai senjata seumpama ini sebagai cucuk sanggul yang boleh mendatangkan pelbagai kemungkinan terutama sekali berkaitan keselamatan seseorang wanita.

Menariknya, pemakaian cucuk sanggul dewasa ini lebih berciri bebas mengikut sesuatu tema, bentuk badan, rupa paras mahupun bagi golongan hawa yang bertudung.

Aksesori ini juga sesuai dijadikan cenderamata korporat dan hiasan dinding kediaman dengan cara dibingkaikan.

Menariknya aksesori dinding sebegini juga secara tidak langsung menggambarkan keperibadian dan minat pemilik kediaman.

Maklumat lanjut di www.kraftangan.gov.my.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mei 2015 @ 5:03 AM
Skip this ad x