SESUAI bagi wanita yang mementingkan penampilan ringkas.
Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my


Tudung bawal satu ketika dulu cukup po­pular dalam kalangan wanita Muslimah di negara ini. Dari penggunaan pelbagai jenis fabrik hinggalah hiasan manik, batu permata atau labuci, boleh dikatakan tudung bawal sehingga hari ini seolah-olah tidak pernah lapuk ditelan zaman.

Walaupun pemakaian tudung mencipta revolusinya tersendiri sehingga ke hari ini dengan kemunculan pelbagai rekaan dan jenis, tudung bawal tetap mempunyai kelompok peminatnya tersendiri dan bagi mereka yang selesa dengan penggayaan tudung jenis ini, pastinya mereka tidak akan beralih arah.

Kesedaran tinggi Muslimah di negara ini dengan memilih untuk menutup aurat dan berfesyen menepati syariat mencetus idea buat pemilik butik tudung online Hijabulous Hassanah (HH) untuk menghasilkan tudung bawal yang direka khas bagi wanita yang mementingkan penampilan ringkas dengan gaya polos.

Menurut pemilik­nya, Hafieza Hassanah Abu Hassan, 26, koleksi tudung bawal butiknya memiliki ciri-ciri eksklusif terdiri daripada lebih 50 warna menarik, beralun cantik, memiliki kelabuhan menepati syariat, mudah digayakan dan menjimatkan masa.

Katanya, idea menghasilkan tudung bawal berkenaan tercetus apabila mendapat maklum balas pemakai tudung labuh yang sukar mendapatkan tudung yang lebih labuh dan menarik.

Tidak seperti kebanyakan tudung bawal yang terdapat di pasaran, tudung bawal yang dihasilkan Hassanah lebih besar iaitu bidang 48 hingga 60 bagi memastikan wanita bersaiz kecil mahu pun besar dapat menutup aurat dengan sempurna.

Dalam usaha memberikan kelainan kepada tudung bawal keluarannya, Hassanah menjahit sendiri tudung bawal.

“Tudung bawal mempunyai peminatnya tersendiri dan sehingga hari ini walaupun terdapat banyak produk tudung yang pelbagai jenis di pasaran tetapi bagi mereka yang selesa dengan tudung bawal, mereka tidak akan beralih.

“Alhamdulillah, pelanggan saya semakin bertambah setiap hari dan untuk terus bersaing dengan produk-produk yang sedia ada hari ini, setiap bulan saya akan mengeluarkan corak yang baru dan berbeza.

“Konsep labuh, unik dan dijahit mengikut kehendak pelanggan menjadi tanda pengenalan rekaan HH. Konsep ini yang membawa perniagaan tudung bawal labuh ini lebih jauh seperti sekarang. Semua tudung bawal dijahit sendiri hingga tidak mampu menampung permintaan pada satu-satu masa,” katanya.

Katanya, selain pilihan warna yang banyak, produk tudung bawalnya menggunakan fabrik yang selesa dan paling penting tidak jarang bagi memastikan aurat pemakai sentiasa terjaga.

Selain itu katanya, pemilihan fabrik juga amat ditekankan mengikut keadaan cuaca di negara ini yang panas dan fabrik seperti sutera kapas, satin ‘dull’ dan ‘diamond silk’ menjadi pilihan­nya kerana sedap dipakai selain tidak mudah re­nyuk, senang diseterika serta mudah dibentuk.

Anak jati Melaka itu berkata, selain tudung bawal, HH turut me­ngeluarkan pelbagai jenis selendang bagi memberi lebih ba­nyak pilihan bagi mereka yang gemar menggayakan selendang.

Dengan penerimaan dan sambutan yang amat menggalakkan, kebanyakan pelanggan gemar membeli secara borong iaitu sekurang-kurangnya 20 helai kerana jatuh cinta terhadap rekaannya.

“Kami turut mengambil tempahan khas untuk mereka yang mahu menjalankan perniagaan tudung sendiri. Dengan mengekalkan harga yang amat berpatutan, kami tidak mementingkan keuntungan semata-mata sebaliknya mahu membantu peniaga yang mahu memulakan perniagaan tudung.

“Selain itu, saya turut menawarkan perkhidmatan ‘dropship’ sebagai nilai tambah terhadap perniagaan kami,” katanya.

Apa yang penting katanya, mengekalkan semua ciri yang menjadi tunjang perniagaannya iaitu labuh, menepati syariah, mudah digayakan dan material berkualiti.

Dari segi harga pula, koleksi HH dijual dengan harga berpatutan mengikut jenis tudung atau selendang serta rekaan serendah RM10 hingga RM55.

“Rekaan terbaru akan sentiasa dikemas kini setiap minggu dengan lebih memberi fokus kepada tudung bawal kerana ia lebih mudah dan membantu Muslimah bergaya dengan sopan dan ringkas,” katanya.

Produk HH boleh didapati menerusi Instagram dan Facebook hijabuloushassanah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mei 2015 @ 5:03 AM