AFP

London: Sunderland menghasilkan aksi bertahan mantap bagi mengekalkan status Liga Perdana Inggeris apabila seri 0-0 pada perlawanan tegang dengan Arsenal, awal pagi semalam.

Pasukan kendalian Dick Advocaat sedar satu mata di Stadium Emirates sudah mencukupi dan mereka memenuhi sasaran itu dengan kekebalan pertahanan yang menyukarkan Arsenal sekalipun diasak bertali-arus pasukan tuan rumah.

Dikemudi kehebatan pemain tengah bertahan Lee Cattermole dan pertahanan tengah Sebastian Coates serta John O’Shea, Sunderland bagaimanapun masih memerlukan persembahan cemerlang penjaga gol Costel Pantilimon bagi mengecewakan lawan.

Black Cats kini empat mata di depan pasukan ketiga tercorot Hull City, boleh mula merancang musim depan sekalipun berdepan kunjungan sukar bertemu juara Chelsea pada perlawanan terakhir liga Ahad ini.

“Arsenal lebih bagus tapi tanpa diduga kami bermain lebih teratur. Kami terlalu gembira,” kata Advocaat yang kelihatan menangis ketika meninggalkan padang selepas wisel ditiupkan.

“Ia satu perasaan yang sukar digambarkan. Pemain memberikan segala-galanya untuk kekal di liga utama.”

Sekalipun gagal menang bagi kali keempat dalam lima perlawanan terakhir, Arsenal terjamin meraih tempat ketiga dan kelayakan automatik ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara musim depan.

Pasukan kendalian Arsene Wenger tiga mata di depan pasukan tangga keempat Manchester United dengan perbezaan jaringan lebih bagus dan baki satu perlawanan.

Mata diraih Sunderland bermakna tempat terakhir turun divisyen dari Liga Perdana menjadi persaingan antara Hull dan Newcastle United.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mei 2015 @ 8:09 AM