AKSI Hamilton di GP Monaco tahun lepas.

Monaco: Lewis Hamilton menyatakan dia sentiasa mahu bersama Mercedes AMG PETRONAS dan menafikan wang menjadi penghalang dalam rundingan panjang yang menyaksikannya menandatangani sambungan kontrak tiga tahun bersama pasukan itu kelmarin.

Juara dunia dua kali itu berkata, rundingan hanya bermula Februari lalu namun dia tidak berhasrat menyertai pasukan lain.

Sejak itu, dia sudah memenangi tiga daripada lima perlumbaan pertama musim ini dan mendahului 20 mata menjelang perlumbaan Grand Prix Monaco minggu ini di depan rakan sepasukan Mercedes, Nico Rosberg.

“Kami memulakan rundingan Februari lalu dan saya mengambil masa sedikit,” kata Hamilton, dengan kontrak itu dilapor bernilai AS$120 juta (RM432.5 juta).

“Beberapa minggu saya memikirkannya, minggu lain pula saya melupakannya. Saya tidak pernah berasa terburu-buru.

“Tahun ini saya masih dalam kontrak dan saya tidak perlu mengkajinya setiap hari. Kadang kala saya memikirkannya, kadang kala saya menumpukan kepada perkara lain, memang saya mengambil masa sedikit.

“Ia hebat, saya meraih 10 peratus dan sudah tentu saya berasa hebat.”

Gurauan Hamilton mungkin kurang disenangi pemandu lain dan ejen mereka di Monaco kerana dia menggambarkan kehidupannya tanpa sebarang wakil atau pengurus.

“Saya hadir di sini hanya untuk bertanding pada satu lagi perlumbaan. Saya tumpukan kepada perkara yang perlu ditingkatkan dan ia satu lagi peluang buat saya.

“Saya hanya menang sekali pada 2008 dan ia bukan hujung minggu sempurna dan saya masih bergelut untuk mencipta hujung minggu sempurna.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mei 2015 @ 7:56 AM