AP

Manila: Polis Filipina semalam menembak mati seorang suspek anggota kumpulan Abu Sayyaf yang didakwa terbabit dalam penculikan dua rakyat Malaysia, dua minggu lalu.

Suspek berkenaan yang dikenali sebagai Mindas Manda mati dalam kejadian tembak-menembak, kelmarin selepas dia enggan menyerah diri apabila dikepung di pasar di Jolo, ibu negeri wilayah Sulu, kata Ketua Pasukan Khas Tentera Kolonel Allan Arrojano.

Katanya, Manda juga disyaki terbabit dalam beberapa penculikan lain di Malaysia yang hampir dengan Tawi-Tawi, wilayah selatan yang terdiri daripada pulau kecil berdekatan Sabah, tempat dia beroperasi.

Media Malaysia sebelum ini melaporkan, keluarga mangsa culik - seorang lelaki dan seorang wanita - menerima tuntutan tebusan.

Kedua-dua warga Malaysia itu diculik dari sebuah restoran makanan laut di Sabah pada 14 Mei lalu dan dipercayai dibawa ke sebuah pulau di selatan Filipina.

Abu Sayyaf dipercayai mempunyai 400 anggota dan beralih kepada kegiatan menculik dan peras ugut selepas operasi militannya terjejas akibat serangan tentera yang dibantu Amerika Syarikat.

Kumpulan itu masih lagi menahan seorang rakyat Belanda yang diculik di Tawi-Tawi, tiga tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mei 2015 @ 6:46 AM