Kuala Lumpur: Persatuan Penganalisis Teknikal Malaysia (MATA) berpendapat Malaysia antara negara mempunyai potensi terbesar untuk maju pada 2020 didokong oleh kekuatan pertumbuhan ekonomi purata 5.3 peratus setahun walaupun dunia secara umumnya melalui fasa pertumbuhan ekonomi perlahan iaitu dibawah tiga peratus.

Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11) akan menjana hasil eksport lebih tinggi juga dilihat seharusnya memberi keuntungan kepada rakyat secara amnya.

Timbalan Presidennya, Nik Mohd Ihsan Raja Abdullah berkata, pengukuhan nilai ringgit dan penambahbaikan modal insan dalam bentuk pekerja berpengetahuan tinggi dapat meletakkan ekonomi Malaysia pada landasan lebih kukuh untuk bergelar negara maju pada 2020.

Beliau berkata, peranan penting Malaysia dalam ASEAN mampu menggerakkan ekonomi serantau ke tahap lebih tinggi hasil daripada perdagangan bebas antara ahli, bilangan pekerja separa mahir yang tinggi dan faktor usia muda dalam fasa awal pertumbuhan ekonomi bakal mentransformasikan ASEAN sebagai kuasa ekonomi baru dunia.

“ASEAN secaranya amnya mempunyai kadar kelahiran tinggi dan baru berada di dalam kitaran awal pertumbuhan ekonomi kesan pertambahan bilangan golongan kelas menengah yang mana golongon ini adalah sekelompok pengguna yang baru memiliki kuasa beli yang tinggi kesan kenaikan pendapatan dan taraf hidup.

“Kuasa beli ini akan merancakkan pergerakan ekonomi setempat seterusnya bakal meletakkan ASEAN antara pengeluar dan pengguna terbesar selepas China dan India,” katanya ketika dihubungi Bisnes Metro, semalam.

Nik Mohd Ihsan berkata, walau bagaimanapun di sebalik potensi yang dimiliki Malaysia, penting bagi kerajaan untuk menumpukan penyelesaian dan melakukan perubahan yang lebih awal untuk perkara seperti pertama, ketelusan projek mega yang perlu diletakkan sebagai matlamat utama demi menarik pelabur-pelabur baru.

“Kedua, peningkatan jumlah hutang isi rumah perlu dikekang terlebih awal sebelum lebih parah. kerana setakat ini, BNM sudah pun memainkan peranannya untuk mengurangkan jumlah hutang isi rumah dengan cara mengetatkan syarat pinjaman seraya mencegah pembelanjaan tidak terancang dalam kalangan pengguna.

“Ketiga, kadar kenaikan harga rumah tidak setara dengan kenaikan pendapatan isi rumah terutama bagi golongan isi rumah berpendapatan sederhana yang sudah boleh diklasifikasikan sebagai miskin bandar kesan lonjakan melampau nilai hartanah sejak tujuh tahun kebelakangan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mei 2015 @ 6:27 AM