SHAHRIL (dua dari kanan) melihat peta projek MRT bagi SSP Line.

Kuala Lumpur: Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) dijangka memulakan Jajaran Kedua Transit Aliran Berkapasiti Tinggi (MRT2) dengan pelaburan bernilai RM28 bilion selepas mendapat kelulusan Suruhanhaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pada November tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata, fasa pertama yang bermula dari Damansara ke Kampung Batu bakal siap pada 2021 manakala fasa kedua dari stesen berikutnya hingga ke destinasi terakhir di Putrajaya Sentral dijangka siap sepenuhnya pada 2022.

“Projek MRT2 juga dikenali sebagai laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP Line) dijangka memulakan operasi serta membuka perkhidmatan kepada orang awam pada suku kedua tahun 2022 dengan jangkaan 529,000 penumpang sehari.

“Berdasarkan pameran bergerak yang bermula pertengahan Mei lalu, kami mendapat banyak respons positif daripada rakyat Malaysia. Sehingga kini, kami menerima lebih daripada 650 maklum balas dalam masa seminggu berkaitan jajaran terbaru ini,” katanya.

“SSP yang dicadangkan adalah yang kedua daripada tiga laluan MRT bertujuan melengkapkan Projek Mass Rapid Transit Lembah Klang (KVMRT) bagi memudahkan perjalanan penduduk di sekitar ibu kota selain meningkatkan pembangunan negara secara mampan,” katanya.

Beliau berkata, projek itu melibatkan baris penjajaran 52.2kilometer (km) di mana 13.5km daripadanya adalah di bawah tanah serta membabitkan 36 stesen lokasi.

Hadir sama Pengarah Projek SSP Line, Amiruddin Maaris.

Menurutnya, MRT2 bukan saja bakal meningkatkan aktiviti komersial dalam kalangan masyarakat, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan dan mampu meningkatkan harga hartanah dan hasil sewa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mei 2015 @ 6:23 AM