TPM Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika sidang media selepas selesai pembentangan Rancangan Malaysia ke-11. FOTO Asyraf Hamzah
Oleh Mohd Nasif Badruddin & Hairulazim Mahmud
azim@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dokumen Rancangan Malaysia Malaysia Kesebelas (RMK-11) bukan milik kerajaan sebaliknya hak rakyat menuju Wawasan 2020.

Sehubungan itu Timbalan Perdana Menteri berkata, untuk menjayakan pelan pembangunan induk itu ia mesti didokongi oleh semua pihak termasuk pemimpin politik dan rakyat.

"Hanya dengan cara itu kita akan dapat mengatasi segala masalah turun naik sepanjang menuju tahun 2020," kata beliau.

Beliau berkata demikian pada sidang media di lobi Parlimen selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selesai membentangkan pelan pembangunan negara selama lima tahun berkenaan di sini, sebentar tadi.

Muhyiddin berkata, asas pembangunan negara iaitu perpaduan, kestabilan politik dan kemajuan ekonomi akan menjadi paksi kepada tercapainya matlamat Wawasan 2020.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, Kebajikan dan pembelaan kepada anggota dan veteran tentera dalam RMK-11 selari dengan rancangan Kementerian Pertahanan.

"Kita bukan saja fikir dalam tempoh lima pelaksanaan RMK-11, tetapi lebih jauh pasca RMK-11,” katanya di sini.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal berkata, pelaksanaan RMK-11 adalah kesinambungan serta selari dengan program ETP dan GTP sebelum ini.

"Peruntukan besar untuk pembangunan luar bandar bukan saja menarik kedatangan pelabur malah dapat mengurangkan migrasi tenaga muda keluar kampung,” katanya mengulas perbentangan RMK-11 oleh Perdana Menteri.

Sehubungan itu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob merasakan program tebatan banjir yang dilaksanakan di Kelantan amat bertepatan dengan senarai tanggungjawab kerajaan pusat terhadap negeri.

"Saya bersikap terbuka dalam kerjasama antara kerajaan negeri dan persekutuan selaras dengan sistem federalisasi,” katanya.

Dalam pada itu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, Kementerian Pengangkutan akan menubuhkan jawatankuasa khas untuk mengembangkan industri logistik daripada nombor 20 kepada 10 teratas di dunia menjelang 2020.

"Kita akan mengembangkan industri penerbangan dengan lebih pesat antaranya membuka laluan baru, lesen baru kepada syarikat penerbangan dan mengkaji cukai lapangan terbang,” katanya kepada pemberita di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mei 2015 @ 1:45 PM