1. MEMPELAI memiliki rambut panjang beralun cantik.
2. BAHAGIKAN rambut kepada tiga bahagian. Ambil bahagian tengah kemudian dandan.
3. BUAT sanggul kecil pada bahagian rambut yang sudah didandan tadi.
4. AMBIL sanggul palsu kemudian letakkan pada bahagian tengah. Letakkan sepit rambut.
5. AMBIL bahagian rambut kiri tutupkan sanggul palsu. Begitu juga dengan bahagian kanan.
6. BUAT simpulan kecil pada bahagian kiri rambut.
7. PADA bahagian kanan bentukkan menjadi sedikit berombak kemudian kemaskan dengan penyepit rambut.
8. ANGGUN dan kemas gaya sanggul untuk pengantin moden.
Oleh Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

Bagi mempelai tidak bertudung selain solekan, dandanan rambut aspek terpenting yang akan menyerlahkan keanggunan mempelai pada hari bahagia. Sama ada disanggul atau dibiarkan lepas, dandanan berunsurkan tradisional atau moden akan memperlihatkan kejelitaan ratu sehari sekiranya bijak digayakan pengantin.

Pemilihan gaya rambut pula memerlukan kreativiti ilham jurusolek itu sendiri. Jika kena pada gaya pasti mempelai kelihatan anggun dan berseri pada hari bersejarah mereka. Tetapi jika salah teknik dandanannya, ia akan membuatkan persandingan menjadi kenangan yang sukar dilupakan.

Melihat hasil tangan dandanan rambut jurusolek profesional Zulfazli Suhadi, ia ibarat menyulam bunga. Segalanya mudah manakala hasilnya cukup indah. Benarlah ia didorong pengalaman hampir 25 tahun dalam bidang solekan menjadikan figura ini tahu selok-belok gaya rambut yang sesuai untuk mempelai.

Ujarnya, setiap dandanan rambut haruslah mempunyai seni tersendiri. Kekemasan dan kerapian dalam membentuk helaian rambut menjadi satu sanggul memerlukan kesabaran dan kemahiran yang tinggi.

Jika dulu pembentukan sanggul harus mengikut bentuk wajah sama ada bulat atau bujur tetapi kini menerusi teknik solekan, bentuk wajah pengantin dapat diubah mengikut kesesuaian sanggul dan aksesori.

Namun begitu pemilihan gaya sanggul juga bergantung kepada busana dan konsep perkahwinan. Sekiranya majlis perkahwinan itu berlangsung di dewan atau hotel, gaya sanggul pengantin akan lebih tinggi kerana bertepatan dengan etika majlis formal yang mementingkan kekemasan.

“Keadaan ini berbeza sekiranya pengantin menggayakan gaun pada waktu petang atau malam, gaya sanggul dipilih lebih ringkas dan santai bersesuaian dengan padanan gaun glamor pilihan mereka. Aksesori yang dikenakan juga tidak perlu terlalu sarat, cukup sekadar klip atau tiara kecil supaya kelihatan lebih anggun dan menawan,” katanya.

Jelasnya, untuk konsep perkahwinan dalam taman, gaya rambut sanggul berombak tampak lebih moden dan sesuai dengan cita rasa pengantin masa kini. Ia dilakukan dengan mendandan rambut pada bahagian belakang sebelum sanggul palsu dimasukkan di dalam celahan rambut kemudian dikemaskan dengan menutupnya menggunakan rambut asal.

Teknik dandanan menggunakan sanggul palsu ini mampu menjadikan dandanan lebih kemas terutama mereka yang memiliki rambut sederhana pendek.

“Ambil kira bentuk wajah bagi memastikan sama ada sanggul dibuat tinggi atau sebaliknya. Untuk kelihatan lebih anggun dan menarik, tambahkan sedikit aksesori pada rambut seperti mahkota atau gelang rambut yang membangkitkan seri wajah.

“Selitkan juga bunga atau perhiasan yang tidak terlalu sarat tetapi tampak elegan. Tambahkan layah dengan rona senada, sesuai untuk mempelai yang ingin mengadakan majlis perkahwinan dalam taman dilimpahi cahaya neon,” katanya yang turut menghasilkan buku sanggul dan solekan berjudul Warna Ladiva, Cantik Sentuhan Zulfazli, Sanggul dan Solekan Pe­ngantin Berhijab.

Mereka yang berminat boleh menghubungi menerusi Facebook Zulfazli bin Suhadi dan Instagram @Zulfazli.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mei 2015 @ 12:18 PM