BERSAMA Betty dan anaknya, Julia Claire Dargus pada majlis pelancaran koleksi Julia Betty dan Asha Karim.
Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my


Soal glamor dan populariti bukan lagi menjadi keutamaannya sekarang. Bagi pelakon popular Erra Fazira, sampai masanya dia menjalani kehidupan yang lebih seimbang antara karier dan kehidupan peribadinya.

“Saya pernah berada di puncak karier dan populariti dulu. Malah, saya sudah puas bergelumang dalam bidang hiburan tanah air. Jika dulu, saya seorang yang kuat bekerja hingga tidak ada ruang untuk diri sendiri.

“Kini, pada usia mencecah 40 tahun, saya ingin menjalani kehidupan yang lebih tenang dan terurus di mana pengurusan karier seni dan keluarga bergerak seiringan,” katanya.

Selain karier seni yang juga periuk nasinya, kata pemilik nama sebenar, Fazira Wan Chek, fokusnya juga untuk membesarkan anak tunggalnya, Engku Aleesya, 6, dengan mendapat pendidikan sempurna.

“Saya pastikan dalam tempoh seminggu bekerja, ada beberapa hari untuk meluangkan kualiti masa bersama anak. Sebagai ibu, anak adalah anugerah yang tidak ternilai dalam hidup kita.

“Justeru, saya pastikan akan memberi sepenuh perhatian kepada Aleesya setiap kali kami meluangkan masa bersama tanpa sebarang gangguan,” katanya.

Tanpa berselindung, kata Erra, dia juga lebih suka ditawarkan watak pembantu berbanding heroin dalam projek drama mahupun teater kerana tidak ingin terikat dengan masa yang panjang di lokasi penggambaran.

“Sebab itu saya lebih suka berlakon dengan produksi yang saya sudah biasa bekerja kerana mereka memahami keadaan saya sekarang. Antaranya produksi milik pengarah berkaliber Erma Fatima dan projek drama arahan Michael Ang.

“Pada masa sama, saya sangat mengalu-alukan kemunculan ramai bakat baru kerana mereka adalah barisan pelapis yang akan me–ngambil alih bidang seni nanti,” katanya.

Erra ditemui pada majlis pelancaran koleksi terbaru Julia Betty dan Asha Karim yang berlangsung di Flora Terrace di sini, baru-baru ini.

Barisan selebriti tempatan yang turut memperagakan koleksi pada petang itu ialah Betty Banafe, Datin Paduka Umie Aida, Sari Yanti, Dynas Mokhtar, Lisdawati, Faezah Elai dan Linda Hashim.

Apapun, kata Erra, dia juga lebih fokus pada bidang pengacaraan berbanding lakonan untuk memastikan lebih banyak masa bersama anaknya.

“Sebenarnya, undangan berlakon tetap ada tetapi kebanyakannya bertembung dengan jadual penggambaran program Primadona (terbitan Astro). Namun, saya memang selesa dengan bidang pengacaraan kerana masanya lebih fleksibel dan kualiti masa bersama anak tidak terganggu,” katanya

Sebelum ini, Erra juga berlakon dalam projek teater Takhta 3 Ratu yang juga projek yang menggabungkan tiga produksi iaitu Rumah Karya Citra (M) Sdn Bhd, Erra Fazira Entertainment dan Awie Entertainment. Ia menampilkan barisan pelakon seperti Awie, Soo Wincci, Izreen Azminda, Beto Kushairy dan Datuk Rahim Razali.

Enggan canang kisah cinta

Walaupun diasak pelbagai persoalan berkaitan jejaka yang bertakhta di hatinya, Erra tetap dengan pendiriannya untuk terus mengunci mulut. Sebagai wanita berstatus ibu tunggal, Erra menegaskan dia tidak mahu mendapat publisiti dengan cara mencanang kisah cinta terbarunya itu kepada peminat.

“Jika cerita peribadi terlalu diuar-uarkan, saya bimbang kenyataan itu akhirnya hanya akan memakan diri sendiri. Sebagai di pihak wanita, tidak manis dengan status serta usia sekarang untuk saya mencanang soal cinta itu. Saya tidak mahu jika hubungan kami tidak menjadi nanti, saya juga yang malu,” katanya.

Dalam kenyataan sebelum ini, pelakon jelita ini membuat pengakuan dia juga berkawan dengan lelaki yang masih bujang dan tidak memandang pada soal harta. Bagaimanapun, ketika ditanya samaa ada jejaka yang dimaksudkan itu adalah penyanyi Shahir AF yang hangat digosipkan dengannya, Erra tetap enggan mengulas.

“Saya tidak mahu komen sama ada jejaka yang berkawan dengan saya itu adalah golongan selebriti atau orang biasa. Apa yang penting, kami juga selesa dengan hubungan jarak jauh dan hanya berhubung menerusi telefon bimbit saja. Kami juga jarang berjumpa dan tidak seperti pasangan lain di luar sana,” katanya.

Pada masa sama, Erra berharap pengakuannya itu akan mengelak dirinya didekati lelaki lain sekali gus menghentikan pelbagai tuduhan yang mengaitkannya dengan golongan VIP termasuk suami orang sebelum ini.

“Saya akan mendedahkan identiti jejaka itu apabila hubungan kami sudah kukuh untuk menuju ke fasa seterusnya. Apa yang penting, si dia mempunyai ciri-ciri lelaki idaman dan lebih berilmu untuk membimbing saya,” katanya.

Erra pernah berkahwin dengan Engku Emran Engku Zainal Abdin pada 25 Oktober 2007 dan bercerai pada 18 Februari 2014. Hasil perkahwinan itu mereka mempunyai seorang anak iaitu Engku Aleesya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mei 2015 @ 11:11 AM