SEBUAH daripada bot asing yang dikaramkan, semalam.

Bitung (Sulawesi Utara): Sempena Hari Kebangkitan Nasional semalam, pihak berkuasa Indonesia menenggelamkan 41 kapal nelayan asing yang didakwa ditangkap kerana ‘mencuri ikan’ di perairan negara itu.

Kapal berkenaan ditenggelamkan oleh Kementerian Kelautan dan Perikanan (KKP) dengan kerjasama tentera dan polis negara itu dan dilakukan secara serentak di empat wilayah - Kalimantan Barat, Sulawesi Utara, Sumatera Utara dan di Aceh.

Pegawai kanan KKP Asep Burhanuddin berkata di Bitung, Sulawesi Utara, tindakan menenggelamkan kapal berkenaan menyusuli arahan Presiden Joko Widodo (Jokowi).

“Kapal berkenaan berasal dari Thailand, Vietnam, China, Malaysia dan Filipina,” kata Asep.

Menurutnya, kapal itu ditenggelam dengan mengguna dinamit berdaya rendah bagi memastikan keadaan kapal tetap terjaga apabila ia karam di laut supaya ia boleh menjadi tukun di kawasan tempat ia ditenggelamkan.

Pihak berkuasa Indonesia sebelum ini menggelamkan 18 kapal nelayan Vietnam, Thailand, Malaysia, Papua New Guinea dan Filipina antara Oktober 2014 dan Mac 2015 sehingga mencetuskan bantahan diplomatik serantau.

Lapan kapal nelayan China yang ditahan bagaimanapun tidak dimusnahkan sebelum ini kerana tekanan diplomatik Beijing. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mei 2015 @ 9:39 AM