MODEL menunjukkan produk Boryeong Mud.
Oleh Wan Nur Ameera Meor Rozman
bisnes@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Boryeong Mud Korea Co Ltd, pengeluar produk kecantikan berasaskan lumpur laut premium yakin pelaburannya bernilai RM500,000 untuk pembangunan cawangan pertamanya di Malaysia.

Pengarahnya, Erica Wong berkata, peranan utama produk terbabit adalah untuk menyerap dan menyeimbangkan semula sebum sambil meningkatkan kualiti kulit menerusi mineral semula jadi.

“Mineral yang terkandung dalam lumpur bukan saja membekalkan nutrien kepada kulit, tetapi menguatkan sel kulit dan membaikinya. Sementara itu bentonit dan germanium yang terkandung dalam lumpur laut mengurangkan radang kulit dan menjadi ia berseri.

“Misi kami untuk menyediakan produk rangkaian lengkap dari alam semula jadi terdiri daripada penjagaan kulit dan diri untuk lelaki serta wanita pada harga yang kompetitif,” katanya pada majlis pe rasmian pembukaan cawangan pertamanya, di sini baru-baru ini.

Selain itu, ia dikenali sebagai memberi kesan luar biasa bagi terapi trauma kerana kesan efektif daripada antimikrobial dan kesemua produk yang dihasilkan sesuai digunakan oleh setiap peringkat umur.

Beliau berkata, buat masa ini, syarikatnya berhasrat untuk membuka enam lagi unit kedai di seluruh Malaysia sebelum akhir tahun di mana antara tiga hingga empat daripadanya akan beroperasi di sekitar Lembah Klang.

Hadir sama, Presiden Boryeong Mud Kosmetik, Lee Bae Chul dan Pengarah Bahagian Pelancongan Korea, Lee In Haeng.

Menurut Lee, sebagai langkah perluasan perniagaan, pihaknya merancang untuk meneroka pasaran dua negara lain sekali gus menembusi pasaran negara tersebut menjelang akhir tahun 2015.

Sehingga kini, produk kosmetik lumpur berada di 13 negara antaranya Eropah, Jepun, Rusia, Indonesia dan China.

Boryeong Mud menampilkan sabun pembersih muka, toner, serum, masker dan pelembap dan syampu. penjagaan badan dan produk penjagaan lelaki.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mei 2015 @ 6:49 AM