PETIKAN daripada video yang tersebar di laman sosial.
Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@hmetro.com.my


Ipoh: Rakaman video seorang bayi dicampak dan dipusing berulang kali oleh seorang wanita dipercayai ibu mangsa yang mula tersebar di laman sosial sejak pagi kelmarin adalah kes sama seperti dilaporkan pada 19 April lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Anuar Othman berkata, suspek berusia 17 tahun sudah pun ditahan sebelum ini selepas rakaman video awal tersebar pada 19 April lalu menunjukkan suspek menendang badan dan menampar muka bayi terbabit.

Katanya, bayi berkenaan kini diletakkan dibawah jagaan neneknya selepas keluar dari hospital dan perintah jagaan juga sudah dikeluarkan oleh mahkamah dimana hak penjagaan bayi terbabit diserahkan kepada neneknya.

"Bayi berkenaan tidak pernah diserahkan semula kepada suspek dan oleh demikian tidak timbul berlakunya kes penderaan baru. Siasatan juga mendapati suspek ada membuat rakaman yang lain selain rakaman yang menjadi viral sebelum ini.

"Suspek sudah diberikan kaunseling oleh pihak Victim Care Ipoh manakala bayi masih diselia oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan keadaan bayi dilaporkan sihat," katanya dalam kenyataan dikeluarkan.

Menurutnya, kertas siasatan sudah dirujuk kepada pihak Pendakwa Raya dan kes disiasat dibawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukan hukuman denda RM20,000 atau penjara tidak lebih sepuluh tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mei 2015 @ 1:48 PM