Susunan Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my


Tidak lama dulu, penyanyi jelita ini pernah diragui bakatnya malah pernah dimalukan Kanye West yang tidak bersetuju kemenangannya ketika itu.

Bagaimanapun, hakikatnya Taylor Swift adalah penyanyi paling berkuasa ketika ini serta makin kukuh namanya dan bakal bergelar legenda.

Semalam, dia membuktikan bahawa tiada siapa boleh menandingi kuasanya apabila mendominasi kemenangan di Anugerah Muzik Billboard 2015 yang berlangsung di MGM Grand Garden Arena, Las Vegas, Amerika Syarikat (AS).

Taylor gah dengan lapan trofi iaitu Artis Top, Anugerah Pencapaian Carta Billboard (Undian Peminat), Artis Wanita Top, Album Billboard 200 Top, Artis Billboard 200 Top, Artis Hot 100 Top, Artis Lagu Digital Top dan Lagu ‘Streaming’ (Video) Top.

Sewaktu menerima trofi Artis Top, terpancar kegembiraannya sebelum mendedikasikan kemenangan itu kepada adik lelakinya selain menyifatkan malam itu malam sangat berharga.

“Oh...ini malam yang sangat indah! Pagi tadi saya sempat menyaksikan adik saya menamatkan pengajian dari Notre Dame. Kepada semua yang bergraduasi pada tahun ini, ini adalah untuk kamu.

“Ini adalah seperti acara graduasi buat kami semua,” katanya mewakili pemuzik dan penyanyi hebat yang hadir pada acara itu.

Dalam kategori itu, Taylor menewaskan nama-nama besar lain seperti One Direction, Ariana Grande, Sam Smith dan Katy Perry.

Menjadi antara pemenang besar pada acara kali ini, penyanyi United Kingdom (UK) iaitu Sam Smith pula berjaya memenangi trofi Artis Lelaki Top, Artis Baru Top dan Artis Lagu Radio Top.

Bagaimanapun, penyanyi yang baru menjalani pembedahan kotak vokalnya dan dalam proses pemulihan di New York tidak dapat hadir ke acara berkenaan.

Meskipun dirundung kesedihan dengan pengunduran Zayn Malik, boyband fenomena One Direction turut tidak pulang dengan tangan kosong apabila memenangi trofi Artis Jelajah Top dan Duo/Berkumpulan Top.

Mereka sempat berterima kasih kepada Zayn sewaktu menerima trofi itu di pentas.

Tuah lagu berhantu All of Me, John Legend pula unggul dengan kemenangan menerusi kategori Lagu Radio Top dan Lagu ‘Streaming’ (Audio) Top untuk lagu berkenaan.

Penyanyi berkenaan tidak ketinggalan mengucapkan terima kasih kepada isterinya Chrissey Teigen yang menjadi hos acara itu bersama penyanyi rap, Ludacris.

Antara pemenang yang turut membawa pulang tiga trofi pada acara kali ini termasuklah penyanyi rap Australia popular iaitu Iggy Azalea dan penyanyi, produser, serta komposer hebat, Pharrell Williams.

Emosi persembahan bercampur-baur

Seperti dijangka, bukan saja barisan pemenang terdiri daripada nama-nama hebat, persembahan di pentas tidak kurang hangatnya. Yang pasti, penampilan beberapa artis senior turut menjadikan acara itu lebih indah dan bermakna.

Mereka termasuklah dua diva yang vokalnya hebat iaitu Kelly Clarkson menyanyikan lagu Invicible dan Mariah Carey memperdengarkan single terbarunya, Infinity.

Bukan sekadar medan untuk menghibur, Taylor misalnya turut memperdengarkan lagu terbarunya paling dinanti-nanti berjudul Bad Blood. Begitu juga Ratu Pop, Britney Spears menyanyikan buat pertama kalinya lagu Pretty Girls bersama Iggy.

Menghangatkan lagi pentas, Nicki Minaj bergandingan dengan Zendaya dan Taylor menerusi lagu Hey Mama serta The Night is Still Young.

Meghan Trainor yang cukup popular dengan lagu All About The Bass sebaliknya digandingkan dengan John Legend mendendangkan lagu Like I’m Gonna Lose You.

Meghan juga kelihatan beremosi dan menangis tatkala rakan baiknya Charlie Puth menyanyikan lagu See You Again dengan Wiz Khalifah.

Antara penghibur lain yang turut menggamatkan pentas termasuklah Nick Jonas, Hozier, Ed Sheeran, Van Halen, Imagine Dragons, Fall out Boys, Fifth Harmony, Chris Brown, Pitbull, Tori Kelly dan Kanye West.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mei 2015 @ 9:16 AM