Milan: Kekalahan 1-0 di tangan Palermo di tempat sendiri mengakibatkan Cagliari tersingkir ke Serie B ketika Genoa dan Torino mencatat kemenangan berharga sekali gus mengekalkan peluang untuk bersaing di Liga Europa musim depan.

Ketika Juventus sudah diangkat selaku juara dua minggu lalu selain saingan untuk ke Liga Juara-Juara menjadi rebutan antara Lazio, Roma dan Napoli, baki saingan Serie A tetap penting buat beberapa pasukan bawahan.

Kekalahan 2-1 di tangan Juventus, Sabtu lalu merosakkan peluang Inter Milan untuk ke Liga Europa dan skuad kendalian Roberto Mancini itu kekal di tangga kelapan, tiga mata di belakang pasukan di tangga keenam, Fiorentina.

Hatrik penyerang Sassuolo Domenico Berardi ketika menang 3-2 ke atas AC Milan menamatkan peluang juara Eropah tujuh kali itu untuk ke Liga Europa.

Masa depan jurulatih Milan Filippo Inzaghi (gambar) masih belum dapat dipastikan dan selepas mendakwa jaringan pembukaan Sassuolo tidak sah, bekas penyerang Rossoneri itu merayu untuk terus kekal.

“Saya masih ada kontrak dengan Milan dan rasa bertuah dapat berada di sini,” katanya. “Sassuolo mahukan khidmat saya ketika saya memegang jawatan selaku jurulatih skuad remaja Milan tetapi saya rasa seronok di sini dan harap dapat terus kekal kerana masih banyak perlu saya lakukan.”

Tetapi Milan bukan satu-satunya pasukan yang kecewa musim ini.

Cagliari memulakan aksi dan sedar selain menang, mereka pasti tersingkir ke liga bawahan tetapi kelab Sardinians itu ketinggalan satu gol apabila Franco Vazquez meledak jaringan buat Palermo.

Cagliari kini akan menyertai Cesena serta Parma di Serie B selepas Frosinone menyertai Carpi untuk layak ke Serie A musim depan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mei 2015 @ 8:15 AM