WAN Ahmad Nizam pada sidang media di pejabat PBSNT. FOTO Aswadi Alias
Oleh Zaid Salim

Kuala Terengganu: Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) akan berbincang semula dengan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman sama ada mahu menarik diri dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) atau sebaliknya.

Presiden PBSNT, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid berkata, perbincangan semula itu akan dibuat selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini mengesahkan tindakan pengadil membatalkan gol keempat Terengganu pada minit ke-89 kerana ofsaid ketika perlawanan separuh akhir kedua Piala FA bertemu LionsXII di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu, Sabtu lalu adalah tepat.

Menurutnya, pihaknya akur dengan keputusan yang dibuat FAM itu dan sebab itu akan mengadakan perbincangan semula dengan Menteri Besar kerana beliau yang mencadangkan tindakan untuk menarik diri daripada baki saingan Liga M.

"Kita juga bersedia untuk menerima sebarang keputusan dan hukuman berikutan insiden yang berlaku ketika perlawanan itu.

"Tetapi kita mahu FAM dapat menjalankan siasatan secara menyeluruh termasuk beberapa kelemahan pengadilan dalam perlawanan itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mei 2015 @ 9:12 PM