McIlroy benam 11 birdie tanpa bogey.

Charlotte, AS: Pemain nombor satu dunia Rory McIlroy bertindak cemerlang dengan 11 bawah par 61 pada pusingan ketiga semalam untuk mendahului dengan empat pukulan pada Kejohanan Wells Fargo dalam Jelajah PGA AS.

Pemain Ireland Utara berusia 26 tahun itu membenam 11 birdie tanpa sebarang bogey bagi memecahkan rekod sendiri 62 pukulan di lapangan Quail Hollow.

“Saya berasa seperti pemain terbaik di dunia, saya mahu keluar ke sana dan membuktikannya,” jelas McIlroy.

Usaha McIlroy membolehkannya mencatat 18 bawah par keseluruhan 198 dan empat pukulan di depan pemain Amerika, Webb Simpson yang merakam 68 serta 14 bawah par 202 keseluruhan.

Impian McIlroy untuk mencecah angka magis golf 59 berakhir dengan par pada lubang ke-17 dan 18.

Namun, penamat itu tidak mencemari pusingan menakjubkan termasuk empat birdie berturut-turut dari lubang ketujuh hingga ke-10 dan lima birdie berturut-turut dari lubang ke-12 hingga 16.

Robert Streb (71) ketiga, tujuh pukulan di belakang manakala Brendan Steele (68) dan Patrick Rodgers (70) berkongsi tangga keempat dengan 10 bawah par 206.

McIlroy mendedahkan dia tahu selepas menyaksikan catatan pagi, rekod lapangan itu boleh dipecahkan.

“Tapi, anda tidak pernah terfikir keluar dan melakukan sesuatu seperti itu,” ujar McIlroy, yang turut mencatat rekod 54 lubang kejohanan itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mei 2015 @ 5:08 AM