AFP

London: Barisan pemain Manchester United dan Arsenal masing-masing berharap dapat mengelak daripada beraksi pada perlawanan play off untuk tiket Liga Juara-Juara apabila kedua-dua pasukan bertemu di Old Trafford pada saingan Liga Perdana Inggeris, malam ini.

Kelebihan dua mata di atas United dengan menduduki tempat ketiga liga, meletakkan Arsenal hampir pasti untuk menyambar slot automatik ke saingan Liga Juara-Juara dengan pasukan yang menduduki tangga keempat perlu beraksi pada saingan play off hujung Ogos ini.

Bagaimanapun, jika United mencatatkan kemenangan, mereka bakal merampas kedudukan Arsenal di tempat ketiga dan meskipun anak buah Arsene Wenger masih mempunyai kelebihan satu perlawanan bertemu Sunderland di halaman sendiri pada Rabu ini, mereka pastinya tidak mahu tewas kepada United.

Lagipun, selepas kelab utara London itu tewas 0-1 kepada Swansea City sekali gus menamatkan rekod tanpa kalah selepas 10 perlawanan, Arsenal juga pasti tidak akan memandang mudah perlawanan bertemu Sunderland.

United pasti tidak akan menamatkan saingan musim ini lebih daripada tangga keempat liga, selepas mempunyai kelebihan enam mata berbanding Liverpool yang menduduki tempat kelima selain kelebihan jaringan gol.

Pengurus Louis van Gaal sedar seandainya dapat merampas kedudukan Arsenal, ia pasti akan meningkatkan motivasi mereka untuk bersaing pada musim depan.

“Saya rasa menamatkan saingan di kedudukan keempat liga adalah satu cabaran besar,” kata pengendali dari Belanda itu.

“Jadi saya fikir kami sudah melakukan yang terbaik tapi ia tidak memadai kerana pada akhirnya, kami mahu menjadi juara.

“Kini kami mahu menamatkan saingan di tempat ketiga kerana peluang itu masih ada. Kami mahu memberi tekanan kepada Arsenal dan itulah yang akan kami lakukan pada perlawanan nanti,” katanya.

Kedua-dua pasukan sudah mencatatkan kemenangan 2-1 pada musim ini, dengan United menang di Stadium Emirates pada saingan liga November lalu dan Arsenal membalas dendam di saingan Piala FA, Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mei 2015 @ 5:04 AM