ANTARA lembu juara yang pernah ditawarkan RM60,000 untuk dibeli.
RATU laga lembu berdebar menyaksikan pertandingan lembu juara miliknya.
PERTANDINGAN laga lembu di Bosnia tidak menyebabkan kecederaan teruk pada ‘peserta’.
Susunan Norlaila Hamima Jamaluddin.
laila@hmetro.com.my

Namanya memang terkenal di Bosnia apatah lagi dengan wajahnya yang cantik. Namun, Retana Pranjkovic terkenal bukan kerana kecantikannya, tetapi bidang lasak yang diceburinya sehingga dia digelar Ratu Laga Lembu-sukan paling popular di Balkan.

Selain menternak lembu, wanita berusia 36 tahun ini juga menjadi pengadil dalam pertandingan lawan lembu, sukan tradisional di Bosnia sejak lebih 20 tahun lalu.

Bersama suaminya, Pero, Retana juga melatih lembu di ladang ternak mereka di bandar Vitez, Bosnia.

"Semuanya kerana minat," kata Retana sambil menunjukkan empat lembu juara yang dilatihnya.

"Saya rasa lembu ini tahu betapa sayangnya kami pada mereka. Kami jaga lembu ini dengan baik dan sebagai balasan, mereka hadiahkan kami dengan kemenangan," sambungnya sambil menyuakan sebiji epal pada mulut salah seekor lembu kesayangannya.

Kehadiran Retana yang cantik sememangnya menjadi antara daya tarikan pada mana-mana pertandingan laga lembu di Bosnia. Dengan memakai skirt warna ceria dan but setinggi lutut, dia mengarahkan lembu masuk ke gelanggang.

"Tahun ini, lembu milik saya memenangi 19 daripada 20 pertandingan," tambahnya dengan bangga.

Sebenarnya sukan laga lembu sudah lama ada di Bosnia dan ia berbeza dengan corrida de toros di Sepanyol yang adakalanya boleh menyebabkan kecederaan teruk dan kematian. Di Bosnia, sukan laga lembunya tidak membabitkan manusia dan tiada lembu yang akan dibunuh selepas pertandingan.

Di sini, lembu beradu kekuatan sesama sendiri. Dalam gelanggang yang dibina khas atau sekadar padang lapang, lembu yang masuk bertanding akan saling menanduk dan menolak musuh sehingga salah seekor berundur dan meninggalkan gelanggang.

Tiada siapa tahu asal-usul sukan laga lembu di Bosnia ini, tetapi ia ada persamaan dengan pertandingan laga lembu yang diadakan di Turki. Ada kemungkinan sukan ini dibawa masuk dari Turki kerana ia pernah memerintah Bosnia dan negara Balkan yang lain selama berabad lamanya ketika zaman Uthmaniyyah dulu. Sukan seperti ini juga ada di Oman dan Emiriyah Arab Bersatu selain di Okinawa, Jepun.

Namun, dulu sukan laga lembu di Bosnia juga boleh menyebabkan kecederaan teruk pada 'peserta' yang bertanding. Selepas mendapat banyak bantahan daripada aktivis haiwan, beberapa tahun lalu kerajaan Bosnia mengeluarkan arahan baru melarang pemilik menajamkan tanduk lembu mereka. Lebih tajam tanduk lembu, lebih agresiflah satu-satu pertandingan.

Kini pihak berkuasa memeriksa tanduk lembu yang hendak bertanding dan doktor haiwan juga perlu hadir pada hari pertandingan untuk melihat sekiranya haiwan itu cedera selepas beradu tenaga.

Kata Retana, lembunya mempunyai 'lebih banyak dokumentasi perubatan' berbanding sesetengah orang.

Suaminya menambah, pihak berkuasa boleh mencuba untuk mengharamkan sukan laga lembu, tetapi dia yakin usaha itu tidak akan berjaya. Memang sudah jadi sifat semula jadi lembu untuk berlaga kepala sesama sendiri tanpa perlukan dorongan manusia.

Pada musim panas boleh dikatakan hampir setiap minggu ada saja pertandingan laga lembu di Bosnia. Ia diadakan ketika pesta kebudayaan yang menarik kedatangan ribuan pengunjung.

Apa yang menarik ialah lembu pejuang ini mempunyai nama yang terkenal. Pemilik sengaja memberikan nama selebriti seperti pemain bola sepak Ronaldo dan Messi kepada lembu mereka. Ada juga yang dinamakan dengan nama pemimpin seperti Mussolini, Putin dan Tito yang mengetuai kumpulan sosialis Yugoslavia selama hampir empat dekad selepas Perang Dunia Kedua.

Retana adalah anak Yugoslavia yang menjadi kacau-bilau selepas perang pada 1990-an di mana hampir 100,000 orang terbunuh di Bosnia.

Ibunya berasal dari Croatia dan ayahnya dari Hungary, Retana dilahirkan di timur laut Serbia. Dia berhijrah ke Bosnia pada 2000 untuk mencari kerja dan akhirnya berkahwin dengan Pero yang sama-sama berkongsi minat dalam sukan laga lembu.

"Ia memang membuat kita teruja. Saya tidak boleh makan atau minum pada hari Ahad kerana gementar. Saya tunggu sehingga pertandingan tamat, barulah boleh makan," katanya dengan nada ceria. Selain lembu, pasangan ini turut menternak kambing, kuda dan anjing.

Pero berkata, ada orang pernah menawarkan 15,000 euro (RM60,800) untuk membeli lembu juara mereka, tetapi permintaan itu ditolak kerana tidak sanggup berpisah dengan si hero berkenaan.

Hadiah untuk pertandingan laga lembu ini agak lumayan. Hadiah utama untuk pertandingan besar boleh mencecah ribuan euro bergantung kepada jualan tiket, pertaruhan, tajaan dan sumbangan dana daripada 22,000 persatuan penternak lembu.

"Wanita di sini malu untuk datang menyaksikan pertandingan kerana bimbang dikritik masyarakat. Tapi, kini jumlah wanita yang datang pada setiap pertandingan semakin bertambah walaupun saya akui pasti ada perasaan gementar apabila berdiri di sebelah lembu seberat 1.3 tan," katanya.

Pada September lalu, lembu Retana bernama Medonja memenangi salah satu daripada 12 pertandingan yang diadakan di kawasan agak terpencil dan dihadiri beratus penggemar sukan berkenaan. Suasana sekitar pertandingan memang meriah, bagaikan pesta. Ada yang menjual kambing panggang, ada juga yang menawarkan kacang dan minuman.

"Saya mewarisi minat terhadap sukan ini daripada ayah, datuk dan moyang," kata Kemal Kajtaz, dari kampung Kacuni yang terletak berhampiran lokasi pertandingan.

Apabila lembunya Cvijan menang, dia berguling di lumpur kerana terlalu gembira.

"Inilah satu-satunya sukan yang tidak mengira bangsa dan kerakyatan seseorang. Sukan ini menyatukan kita semua. Kemenangan bukanlah perkara paling utama kerana orang datang ke sini untuk minum, menyanyi dan bersosial," katanya.-Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Oktober 2014 @ 5:04 AM