PAKAR Khidmat Profesional 3M Malaysia, SR Chandraprasad melakukan pemeriksaan kebersihan tapak tangan.
Oleh Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my


Staphylococus aureus, Salmonella, Escherichia coli enteropathogenic (E.Coli), Bacillus cereus, Vibrio parahaemolyticus dan Camphylobacter adalah enam bakteria utama penyebab keracunan makanan, tetapi kecuaian manusia yang mengabaikan aspek penjagaan kebersihan sehingga makanan tercemar adalah punca bakteria terbabit membiak.

Bakteria boleh muncul dalam makanan melalui tiga cara iaitu penyediaan makanan yang kotor dan tidak teliti, makanan yang tidak dihadam dengan sempurna dan makanan yang terdedah pada suhu persekitaran.

Ciri-ciri menunjukkan makanan itu rosak atau basi dan tidak boleh dimakan seperti berlendir, berbuih, berkulat, berubah warna atau tamat tarikh luputnya dan mengeluarkan bau yang tidak menyenangkan atau berbeza daripada biasa.

Oleh itu, pengendali atau penyedia makanan dan peniaga makanan berperanan dalam proses mengawal keselamatan dan penyaringan produk makanan dengan memastikan ia tidak dicemari dengan bakteria terbabit sebelum dijual kepada orang ramai, sama ada makanan proses, makanan dalam tin, makanan dalam pek atau makanan dalam bungkusan.

Namun, bakteria mungkin sukar dikesan jika makanan yang tercemar belum berubah dari segi bau, warna dan rasa kerana bakteria mempunyai saiz terlalu kecil dan hanya dapat dilihat dengan menggunakan mikroskop.

Kehadiran patogen bawaan makanan itu hanya boleh dikesan melalui ujian mikrobiologi di makmal seperti ujian mikroskopi, ujian kultur dan pengenalpastian, ujian sensitiviti, ujian serologi dan teknik molekular.

Bagi memudahkan pihak yang terbabit dalam industri makanan dan minuman, terutama pengeluar, mengesan patogen bawaan makanan dalam produk mereka, Keselamatan Makanan 3M Malaysia Sdn Bhd menawarkan kit ujian pengesan pantas yang boleh digunakan ke atas bahan mentah, makanan siap proses, perkakas dan keleng­kapan penyediaan makanan, termasuk pengendali atau penyedia makanan.

Pengurus Jabatan Keselamatan Makanan, Kumpulan Perniagaan Penjagaan Kesihatan 3M Malaysia, Lawrence Au berkata, inovasi aplikasi produk yang boleh menguji kehadiran patogen bawaan makanan dan diba­ngunkan Keselamatan Makanan 3M itu digunakan di 60 negara kerana mampu menghasilkan keputusan konsisten dan boleh dipercayai.

“Mencuci tangan dengan teliti sebelum atau selepas mengendalikan makanan bagi mengelak pencemaran adalah langkah betul dalam pengendalian makanan dan keselamatan di dapur. Namun, adakah tangan yang dicuci diyakini bebas daripada bakteria kerana bukan setiap masa seseorang dapat mencuci tangan.

“Oleh itu, sistem pengawasan kebersihan 3M menawarkan alat pengimbas tapak tangan yang boleh mengesan kehadiran kekotoran yang mungkin mengandungi bakteria pembunuh dalam tempoh 30 saat saja, malah data diperoleh juga tepat.

“Ini dapat membantu pengeluar atau pengusaha makanan mengekalkan aspek kebersihan dan sanitasi persekitaran premis, perkakas dan kelengkapan penyediaan makananan, sekali gus dapat menjimatkan masa, wang dan pengeluaran mereka,” katanya.

Katanya, ujian patogen dan toksin immunoassay visual pula adalah kaedah teliti dan tepat dalam mengesan kehadiran Salmonella, Listeria, Staphylococus aureus, Staphylococus Enterotoxin, E.coli dan Bacillus Diarrhoel Enterotoxin pada bahan mentah, produk siap dan fasiliti pengeluaran makanan dan minuman.

“Ini juga dapat membantu pihak berkuasa memperoleh keputusan ujian segera selepas di lapangan ketika melakukan pemeriksaan kesihatan premis makanan, sekali gus mengenakan tindakan sewajarnya terhadap pihak yang mengabaikan kebersihan dan keselamatan makanan.

“Lazimnya, pihak yang melakukan pemeriksaan akan mengambil sampel makanan yang disyaki tercemar melalui olesan dan dihantar ke makmal, namun keputusannya mungkin dicemari bahan lain kerana tempoh ujian yang mengambil masa beberapa hari,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Kumpulan Perniagaan Penjagaan Kesihatan 3M Malaysia, Ben Heng berkata, pihaknya turut bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dan Kementerian Industri Asas Tani dalam memperkenalkan sistem ujian untuk meningkatkan produktiviti kepada pihak industri makanan.

“Kami mendidik sektor awam dan swasta berkaitan keselamatan makanan sejak beberapa tahun lalu kerana kesedaran mengenainya masih rendah.

“Malah, kami turut menubuhkan Akademi Penjagaan Kesihatan 3M sebagai platform untuk berkongsi kepakaran dan pengalaman, termasuk menawarkan latihan kepada pihak berkenaan.

“Usaha kami lebih kepada mencegah sesuatu insiden daripada berlaku dengan pengesanan awal. Namun, tidak dinafikan kerajaan juga melakukan tanggungjawab mereka dengan menguatkuasakan akta tertentu bagi menjamin keselamatan pengguna dan pihak tidak bertanggungjawab dikenakan tindakan sewajarnya,” katanya.

Katanya, pembuatan makanan tertakluk kepada Akta Makanan 1983 yang hanya mengutamakan ramuan tetapi kurang pada spesifikasi mikrobiologi, Peraturan Kebersihan Makanan 2009 pula lebih meliputi syarat kebersihan dan keperluan sistem keselamatan makanan di premis makanan, manakala ujian makanan di bawah Akta Juruanalisis Makanan 2013 memerlukan pihak yang melakukan ujian dan pengesahan laporan berdaftar dengan Kementerian Kesihatan sebelum produk dipasarkan.

“Skim Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) yang diperkenalkan Kementerian Kesihatan adalah skim keselamatan makanan yang direka khusus untuk membantu pengusaha industri kecil sederhana (IKS) mematuhi keperluan kebersihan dan keselamatan makanan.

“Bersih, Selamat dan Sihat (BeSS) pula pengiktirafan yang diberi kepada pengusaha premis makanan bagi menggalakkan penyediaan makanan selamat dan sihat dengan mematuhi komponen keselamatan dan kualiti makanan serta komponen pemakanan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mei 2015 @ 5:00 AM