Oleh Rabi Atul Adawiyah Ismail
am@hmetro.com.my

Sibu: Enam senapang patah dan beberapa butir peluru hilang selepas sebuah pejabat kawalan keselamatan di Jalan Wong Nai Siong, di sini, dipecah masuk, 7.15 pagi ini.

Kejadian disedari seorang pengawal keselamatan apabila mendapati pintu pejabat terbuka dengan kunci mangga pada jeriji pintu dan peti menyimpan senjata api hilang.

Menurut sumber, pemeriksaan lanjut mendapati senjata api dan peluru yang disimpan dalam peti itu turut hilang.

"Enam senapang patah, lima daripadanya bersarung kulit hitam, manakala selaras lagi tidak bersarung bersama 40 butir peluru hilang.

"Berdasarkan keterangan awal pengawal keselamatan itu, dia meninggalkan pejabat dalam keadaan berkunci dengan peti simpanan senjata turut dikunci menggunakan mangga, kira-kira jam 8.30 malam, semalam," katanya.

Laporan polis dibuat di Balai Polis Sibu untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mei 2015 @ 6:56 PM