AFP

Nablus: Sekurang-kurangnya 10 rakyat Palestin cedera selepas ditembak dengan peluru getah dan hidup oleh tentera Israel dalam pertempuran di sini, semalam.

Tentera Israel mengesahkan pertempuran itu tetapi seperti biasa menafikan anggotanya menggunakan peluru hidup.

Pertempuran meletus apabila lebih 1,000 penduduk dari penempatan haram Yahudi tiba dengan bas untuk melawat makam Nabi Yusuf AS di Nablus.

Kedatangan mereka dibantah penduduk Palestin. Tentera Israel mendakwa penduduk berkenaan mereka melontar batu ke arah pelawat itu.

Ia menyebabkan tentera Zionis yang mengawal lawatan itu melepaskan tembakan.

Jurucakap tentera Israel berkata, pihaknya mengawal sehingga 3,000 pelawat Yahudi ke makam itu sejak Rabu lalu.

Pertempuran berlaku selepas Israel membentuk kerajaan baru yang diketuai Perdana Menteri Benjamin Netanyahu.

Ketika mengulas mengenai kerajaan baru, pegawai Palestin berkata, ia akan menjauhkan lagi harapan untuk mewujudkan keamanan di rantau berkenaan.

Sementara itu, di Gaza, puluhan orang cedera apabila sebutir bom meletup di pangkalan latihan yang digunakan oleh Hamas.

Pegawai kesihatan Gaza Ashraf al-Kidra berkata, sebahagian daripada mereka parah.

Dia bagaimanapun tidak memberikan angka tepat atau maklumat mengenai kejadian berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mei 2015 @ 5:06 AM