GAMBARAN artis mengenai reka bentuk apartmen Opal Residensi.

Kuala Lumpur: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), pemaju hartanah terkemuka menawarkan kediaman terkini dengan gaya hidup bandar di lokasi strategik menerusi projek apartmen jenis Opal Residensi di Seksyen 7, Shah Alam.

Projek yang berkonsepkan ‘kehijauan’ itu menekankan keselesaan, kesihatan dan kemewahan pada harga mampu milik dikelilingi pelbagai prasarana seperti hospital, institusi pengajian tinggi seperti UNISEL, UiTM, sekolah serta bank.

Pengurus Pemasaran PKNS, Mohd Wazir Abdul Gani berkata, apartmen itu dibina di kawasan seluas 1.37 hektar membabitkan 138 unit kediaman berkeluasan antara 1,227 hingga 2,486 kaki persegi dan dijangka siap pada tahun depan dengan tempoh pegangan selama 99 tahun berakhir 9 Oktober 2106.

“Antara kemudahan eksklusif yang ditawarkan termasuk kolam renang, ruang gimnasium dan sauna, dewan serbaguna, ruang tadika dan dobi serta akses kad untuk tujuan keselamatan.

“PKNS turut memberikan diskaun sebanyak tujuh peratus kepada pembeli Bumiputera,” katanya.

Pemilik juga diberikan dua lot tempat letak kereta dan projek apartmen itu ditawarkan pada harga menarik dan dipakejkan dengan ciri inovasi khusus memenuhi kehendak masa kini pembeli hartanah, sekali gus memastikan mereka mendapat nilai terbaik bagi setiap kos yang dilaburkan.

Opal residensi yang bukan saja sesuai dijadikan kediaman persendirian atau sebagai satu bentuk pelaburan ditawarkan pada harga bermula dari RM601,500 seunit dan untuk maklumat lanjut boleh melayari laman web www.pkns-property.com.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mei 2015 @ 5:04 AM