BERSANTAI di tingkat atas dalam suasana penuh privasi.
LANTAI balkoni yang terbuka dan berbumbung lut sinar diindahkan dengan kemasan rumput tiruan.
DEK atau pelantar kayu pula dipasangkan pada balkoni tingkat satu selain menempatkan set kerusi dan meja taman.

Berada di tingkat atas banglo tiga tingkat ini, ruang anjung di tingkat satu sebelah sayap kiri bangunan dan anjung aras bawah di sayap kanan dipasangkan bumbung polikarbonat lut sinar.

“Kediaman ini eksklusif kerana mempunyai empat anjung atau balkoni dengan kawasan lantainya tersendiri.

“Setiap bilik atau ruang di aras atas bersambung dengan balkoni masing-masing,” kata Muhsin.

Katanya, semua balkoni dibina pengadang jeriji besi lurus tegak, iaitu ciri ringkas yang mewakili tema moden.

“Balkoni memberi suasana lapang penuh privasi kepada bilik dan ruang keluarga.

“Keluasan lantai banglo itu ditambah membuatkan suasana lapang dan sesuai untuk tempat beristirahat,” katanya.

Menariknya, lantai balkoni yang terbuka dan berbumbung lut sinar diindahkan dengan kemasan rumput tiruan.

Dek atau pelantar kayu pula dipasangkan pada balkoni tingkat satu selain menempatkan set kerusi dan meja taman .

“Rangka yang menyokong bumbung anjung aras itu dibina senget berkonsepkan kedudukan garis ‘zig -zag.’

“Di kawasan dinding luar, kami membina kabinet siap separuh dinding.

“Reka bentuknya berkonsep ruang simpanan tersembunyi kerana hanya ada pintu dan tombol,” katanya.

Kawasan anjung depan di aras bawah terdapat binaan tiang besar bulat, lurus tegak sebagai identiti kediaman itu.

Panorama di bahagian belakang bangunan lebih indah dengan kehadiran kolam renang besar.

Lantai di atas bumbung turut dibina kolam.

“Jika diamati, ia bukan lagi sebuah kediaman tetapi mirip kepada resort,” katanya.

Di satu kawasan lain, kami membina reban ayam bagi menyesuaikan minat ibu pemilik kediaman itu yang mendambakan suasana di kampung.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mei 2015 @ 5:03 AM