CETAKAN jubin Maghribi dan cetakan flora berinspirasikan Asia jadi antara elemen penting dalam himpunan ini.
PADANAN monokrom ditonjolkan penuh elegan yang menyerlahkan penampilan lebih chic.
ASPEK kontemporari pemacu kepada setiap rekaan Wallis bagi musim ini.
Oleh Nor Faizah Mohamed
faizah@hmetro.com.my


Safari, utiliti moden dan kemewahan yang dirai di Wallis tahun lalu kini kembali mengisi himpunan musim ini.

Ia dimeriahkan lagi dengan rentak retro 1970-an yang saling melengkapi saat satu sama lain dipadankan penuh berani.

Secara asasnya, apa yang dipersembahkan Wallis kali ini masih mengekalkan gaya versatil namun disulami rekaan estetika feminin yang membezakan antara klasik dan moden dalam citra terkini.

Jumpsut dan blaus longgar sengaja diberi hamparan rona alam sebelum disuntik variasi cetakan terang dengan perincian minimum.

Penekanan ke atas rekaan pakaian sukan nampaknya dikembangkan menerusi cetusan blok warna dan siluet ringkas yang mewujudkan impak santai, tetapi masih seksi bagi meraikan kehangatan musim ini.

Seperti biasa, aspek corak dan cetakan menjadi antara elemen penting yang dapat dilihat menerusi padanan bertenaga sama ada bersama helaian monokrom cetakan jubin Maghribi atau cetakan flora inspirasi Asia.

Maghribi Moden takrifan sesuai untuk sebahagian besar koleksi ini dengan elemen edgy sesekali dititipkan pada siluet feminin bagi memberikan impak kontra.

Palet monokrom seterusnya diberikan sentuhan ringkas terutama pada celana jogger dan kemeja-T. Helaian culotte (seluar longgar yang menyerupai skirt) pula hadir sebagai tanda kemunculan trend musim panas ini.

Koleksi baru ini turut disifatkan sebagai penyebar mesej jelas kepada gaya sebenar yang konsisten dan lebih bersifat peribadi.

Wallis mula bertapak di England pada 1923 ketika kali pertama butiknya dibuka di Chapel Market, Islington, London dengan menjual pelbagai kot serta gaun pada harga 19 syiling (kira-kira RM2.43).

Menjengah era 1940-an, Wallis terus mengukuhkan kedudukannya dalam dunia fesyen Britain dengan pembukaan 25 butik di seluruh London.

Pada pertengahan 1950-an hingga 60-an, pasukan pereka Wallis diundang mencipta adi busana bagi Rumah Fesyen Chanel dan Dior yang menyasarkan wanita dalam kalangan atasan.

Selepas pembukaan pertamanya di Asia Tenggara menerusi butik di Bangsar Village II pada 2011, Wallis kini boleh didapati di sekitar Lembah Klang antaranya Midvalley Megamall dan Empire Shopping Gallery.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mei 2015 @ 5:02 AM