FATTAH turut rakam single.
Oleh Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


Lakonannya menerusi drama Bencinta baru-baru ini berjaya membuka mata banyak pihak.

Jika dahulu dilabel sebagai ‘pelakon kayu’ disebabkan mutu lakonannya yang tidak seberapa dalam drama Playboy Itu Suami Aku, kini Fattah Amin, 25, semakin menampakkan kemajuan.

Hasilnya, dia semakin banyak mendapat peluang yang ditunggu-tunggu selama ini.

Tidak sesekali riak atau mendabik dada, Fattah sebaliknya menganggap itu semua rezeki di samping banyak lagi perkara yang perlu diperbaiki.

Dalam erti kata lain, dia masih belajar untuk menjadi yang lebih baik.

Biarpun keberkesanan dan mutu lakon yang ditunjukkan mendapat reaksi positif, Fattah tidak mahu bersikap terlalu selesa.

“Saya masih dalam proses belajar untuk menjadi pelakon yang baik. Bukan nak kata sudah pandai berlakon, tapi saya sentiasa belajar mencari sesuatu yang baru. Bukan apa, di dalam bidang ini saya ada sasaran tersendiri selain mahu menjadi pelakon serba boleh,” katanya.

Fattah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd Amin yakin dia mampu mencapai sasaran yang ditetapkan.

“Saya sudah ada sasaran sendiri sejak dulu lagi. Sebelum ini saya tidak mendapat peluang berlakon dalam drama dan telefilem menarik. Apabila berlakon dalam Bencinta dan mendapat watak yang berbeza daripada sebelumnya, orang mulai sedar bakat saya.

“Saya perlu berterima kasih kepada semua pasukan drama itu kerana berjaya membentuk saya,” katanya yang digandingkan bersama Fathia dalam drama itu.

Dengan peluang yang semakin banyak untuknya, bekas juara Hero Remaja ini membuktikan dia tidak lagi ketinggalan dengan rakan seangkatan lain berbanding di awal kemunculannya.

Dalam masa yang sama, Fattah turut menafikan peluang yang ada kerana rupa paras yang dimiliki semata-mata, bagaimanapun dia menyifatkan semua itu adalah kurniaan Allah SWT.

Yakin boleh menyanyi

Fattah sudah melancarkan single solonya berjudul Hero Untukmu kira-kira setahun lalu di bawah syarikat pengurusannya iaitu My Fatye.

Ditanya mengenai pemilihan tajuk berkenaan, Fattah menafikan ia ditujukan kepada teman wanitanya pelakon Sherry Ibrahim.

“Daripada tajuknya ramai yang bercakap sedemikian. Tapi sebenarnya tidak, kerana lagu ini dihasilkan semata-mata untuk memenuhi permintaan peminat. Malah ia sebagai hadiah buat mereka di atas sokongan yang diberikan sejak saya mula berlakon. Ikutkan, sebelum berlakon saya sudah mula menyanyi. Cuma tidak aktif,” katanya yang hampir setahun bercinta dengan Sherry.

Fattah berkata, dia tidak kisah biarpun ramai yang mengkritik kerana yakin boleh menyanyi.

“Dengan adanya kritikan, barulah kita sedar akan kelemahan dan kekurangan diri. Justeru, saya tidak ralat sekiranya tidak diterima sebagai penyanyi. Saya tidak akan berputus asa dan anggap rezeki ada di mana,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mei 2015 @ 5:02 AM