KEADAAN jengkaut yang terbalik. Gambar kecil, mangsa yang terselamat. FOTO ihsan bomba
Oleh Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail

Kota Samarahan: Seorang pemandu jengkaut berdepan detik mencemaskan apabila jentera yang dipandunya tiba-tiba menggelongsor daripada timbunan batu dan terbalik dalam kejadian di sebuah kuari di Jalan Muara Tuang di sini, 12.30 tengah hari tadi.

Bagaimanapun, mangsa, Liew Tet Poh, 59, hanya cedera ringan di peha dan tangan akibat terhimpit pada kerusi di tempat duduk pemandu.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Farhan Sufyan Borhan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.40 tengah hari.

Katanya, sebaik anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Samarahan tiba di lokasi kejadian, mangsa sudah dikeluarkan oleh pekerja kuari.

"Mangsa hanya mengalami cedera ringan dan dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk pemeriksaan lanjut.

"Kemalangan dipercayai berpunca daripada jengkaut yang hilang imbangan menyebabkan ia menggelongsor sebelum terbalik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mei 2015 @ 12:20 AM