FOTO ihsan JPAM
Oleh Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail

Miri: Seekor buaya berukuran kira-kira lima meter dengan berat lebih 300 kilogram berjaya ditangkap di Sungai Teniku di sini, 3 petang semalam.

Difahamkan, kehadiran reptilia itu disedari pekerja ladang berhampiran sejak beberapa minggu lalu dan kebetulan dapat melihat buaya itu di tebing sungai.

Mereka segera menghubungi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Miri dan Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) untuk tindakan lanjut.

Menurut Jurucakap JPAM, sebaik menerima panggilan kecemasan, seorang pegawai bersama lima anggota bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati buaya itu sudah berada di tebing sungai.

"Anggota JPAM, beberapa pekerja ladang dan anggota SFC segera menangkap reptilia itu.

"Keadaan buaya yang besar itu menyukarkan proses menangkap dan mengambil masa lebih sejam untuk diikat, seterusnya dipindahkan dalam lori," katanya.

Buaya itu kemudian dihantar ke Taman Buaya Miri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mei 2015 @ 12:03 AM