ANTARA rekaan cetus inspirasi.
Oleh Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my

Kecantikan seseorang wanita itu sering dikaitkan dengan kekuatan dan keberanian mereka ketika berdepan dengan ujian serta dugaan.

Atas konsep itu, Royal Selangor baru-baru ini melancarkan Pink-koleksi terbarunya yang juga koleksi aksesori peribadi wanita penuh dengan inspirasi.

Sempena kempen kesedaran kanser payudara yang disambut setiap Oktober, koleksi edisi khas berwarna merah jambu itu terhad kepada 1,000 unit di seluruh dunia.

Koleksi menyerlah dengan permukaan piuter yang halus berkilat dan pelbagai kristal yang mempesonakan daripada swarovski itu bukan saja kelihatan sangat cantik ketika dipakai malah mempunyai pelbagai maksud.

Warna kristal terdiri daripada warna putih telus sehingga warna merah jambu cair dan gelap menghiasi reka bentuk yang mempesonakan selain bentuk uniknya inspirasi daripada ketabahan wanita berdepan dengan dugaan hidup, namun sentiasa mahu kelihatan cantik.

Konsep reka bentuk koleksi terdiri daripada dua bentuk loket dan rantai kekunci ini berdasarkan kulit kerang yang juga simbol umum untuk kelahiran semula.

Ketua Bahagian Rekabentuk Royal Selangor Eugina Lee berkata, sebahagian daripada hasil jualan edisi khas ini akan disumbangkan kepada Persatuan Kebajikan Kanser Payu Dara (BCWA).

Edisi khas ini koleksi kedua Royal Selangor untuk menyokong usaha murni dijalankan BCWA dalam membantu penghidap penyakit itu yang jelas perlu berdepan dengan dugaan hebat.

"Koleksi ini selaras dengan koleksi acuan jeli piuter berbentuk kon dilancarkan pada 2006. Direka pereka Britian, Nick Munro, acuan jeli yang menyerupai gunung ini mencabar kita untuk mengatasi dugaan hidup," katanya.

Menurut Eugina, koleksi Pink ini juga antara inisiatif menarik yang dijalankan pihaknya khusus bagi meningkatkan kesedaran kepada wanita mengenai penyakit barah payudara.

"Koleksi ini juga memberi penghormatan kepada aspek kecantikan khusus buat semua pejuang kanser selain memantapkan kekuatan dalaman mereka.

Koleksi Pink boleh didapati di semua kedai jualan Royal Selangor selain laman web royalselangor.com.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Oktober 2014 @ 5:03 AM