FOTO Amran Hamid
Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa
kalidevi@hmetro.com.my


Kuala Lumpur : Semua kaunter bayaran saman di balai polis trafik seluruh negara akan dibuka esok dan lusa.

Ketua Pasukan Trafik Bukit Aman, Datuk Mohd Fuad Abdul Latiff berkata, tindakan itu bagi memudahkan orang ramai menjelaskan saman tertunggak dan waran tangkap trafik mereka.

Menurutnya, orang ramai tidak boleh memberikan alasan tidak sempat menjelaskan saman tertunggak mereka berikutan pasukan trafik sedia bekerjasama memberi mereka peluang terakhir hingga hari Ahad ini.

"Ops Waran Tangkap Trafik (Op Warta) akan mula dijalankan bermula Isnin depan dan tarikh penguatkuasaan operasi berkenaan tidak akan ditunda lagi.

"Tiada lagi tempoh rayuan diberikan kepada pesalah trafik berkenaan," katanya dalam pesanan ringkas kepada Harian Metro.

Op Warta dijalankan bagi mengesan pesalah trafik tegar yang enggan melunaskan saman yang dikeluarkan waran oleh mahkamah.

Orang ramai dinasihatkan untuk menyemak rekod kenderaan masing-masing yang mempunyai rekod kesalahan trafik tertunggak di mana-mana balai trafik berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mei 2015 @ 11:14 PM