Muak dan bosan mendengar leteran kakak buatkan kita rasa seperti mempunyai ramai ibu. SHUHADA MANSOR cuba menukar perssepsi kakak sebagai penganggu hidup menjadi kawan paling 'best' pernah anda ada.

Memiliki ramai adik-beradik melahirkan pandangan berbeza bagi setiap remaja. Ada yang suka dan tidak kurang juga yang rimas. Bagi penulis, ia kelebihan kepada sesiapa yang mempunyai abang ataupun kakak kerana ada di antara kita hanya hidup seorang diri sebagai anak tunggal dalam sebuah keluarga.

Positifnya, abang dan kakak boleh dianggap penjaga adik-beradik lain. Oleh kerana lebih tua, mereka sering diarahkan memerhati tingkah laku adik supaya tidak melakukan perkara dilarang. Dan disebabkan itu juga, kita mudah rimas apabila segala perilaku ditegur membuatkan kita membenci mereka.

Jangan begitu! Sebenarnya, memiliki adik-beradik lebih tua khususnya kakak banyak memberi kelebihan kepada kita terutama bagi perempuan. Kakak boleh dijadikan sahabat paling baik dan boleh diharapkan untuk melindungi dan membantu kita selain daripada ibu bapa.

Pendapat ini dibuktikan melalui kajian diterbitkan dalam Jurnal bertajuk Keluarga dan Perkahwinan oleh Downey & Condron (2004) dengan menjelaskan lebih ramai jumlah adik-beradik untuk membesar bersama, lebih tinggi peluang berinteraksi sesama sendiri seterusnya menggalakkan hubungan positif. Bagi anda yang masih dalam dilema, ada beberapa perkara menarik boleh anda cuba untuk eratkan lagi hubungan dengan kakak anda.

KAWAN KARIB

Bagi yang mempunyai kakak, mereka adalah teman sejati kita buat selama-lamanya. Memanglah kadang-kadang kakak dan adik boleh jadi seperti 'anjing dan kucing' atau sering berbalah. Namun, walau sehebat mana sekali pun pergaduhan itu, air yang dicincang tidak akan putus. Hubungan saudara seibu sebapa secara tak sedar membuatkan kita selesa berbual mengenai hal peribadai dan masalah lain.

KONGSI PAKAIAN

Baju kamu, baju dia juga. Situasi ini perkara biasa bagi mereka yang mempunyai kakak. Boleh berkongsi pakaian, aksesori, buku dan bertukar pandangan ­mengenai fesyen terkini. Kakak juga boleh menjadi rakan membeli-belah dan menonton wayang. Ibu mesti tidak terlalu risau jika kamu keluar berdua. Selain itu, anda bebas 'bergosip' tanpa perlu menahan diri atau takut dikhianati rakan.

TEMPAT MINTA BANTUAN

Apabila ditimpa masalah, dialah orang yang kita boleh harapkan untuk membantu. Awalnya, mungkin dia akan menolak untuk memberi bantuan dengan menyuruh kita menyelesaikan masalah sendiri, tetapi biasanya mereka akan tolong akhirnya kerana lembut hari. Sifatnya sama seperti ibu, dia akan tetap bersama-sama untuk menyelesaikan masalah anda.

PENJAGA RAHSIA

Jika berkongsi rahsia mengenai teman lelaki ataupun lelaki yang anda suka atau anda melakukan kesalahan kecil dengan melanggar peraturan ibu bapa, pasti dia individu boleh dipercayai. Percayalah rahsia itu akan selamat melainkan anda sendiri bergaduh ­dengannya.

TAK SENDIRIAN

Walaupun kadang kala kita akan berada di dalam fasa paling menyedihkan dalam hidup, tapi jauh di sudut hati anda tahu anda tidak benar-benar sunyi. Walaupun berada jauh beribu batu, kakak akan sentiasa berada di sisi . Dia tidak akan membenarkan anda merasa sunyi walau sedikit pun.†

PENDAMPING IBU BAPA

Anak tunggal biasanya mempunyai kebimbangan untuk menjaga ibu bapa apabila tua. Bagaimanapun, jika mempunyai adik-beradik, kita akan tahu sekurang-kurangnya salah seorang akan sanggup berkorban untuk menjaga ibu bapa. Tidak bermakna orang lain lepas tangan, tetapi selalunya kakak akan menjadi yang pertama untuk bersuara.

TEMAN KE MANA SAJA

Di usia remaja, sukar untuk kita tidak mempunyai teman. Tetapi, bagi gadis yang pemalu dan masih tidak berpasangan, siapa yang akan diajak untuk menghadiri acara ataupun ke program tertentu ? Biasanya kakak atau adik-beradiklah yang akan meluangkan masa menemani anda. Seronok bukan? Jadi, hargailah kakak anda dan jadikan mereka geng selama-lamanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Oktober 2014 @ 5:03 AM