TENTERA wanita Indonesia. - Foto AFP

JAKARTA: Pemerhati Hak Asasi Manusia (HRW) mendesak Indonesia menghentikan ujian dara untuk wanita yang mahu menyertai tentera kerana menganggap amalan itu kejam, tidak berperikemanusiaan serta menjatuhkan maruah wanita.

Pertubuhan itu menyatakan, temuramah dengan anggota wanita dalam tentera Indonesia menunjukkan pemeriksaan itu yang biasanya menggunakan ‘ujian dua jari’ bagi memastikan selaput dara masih utuh, diwajibkan kepada wanita yang mahu menyertai tentera atau berkahwin dengan pegawai tentera.

Tentera Indonesia mempertahankan pemeriksaan itu dengan alasan mereka yang bermoral rendah ‘boleh menjejaskan ketenteraan’ tetapi menafikan wanita yang bakal berkahwin dengan pegawai tentera juga perlu menjalani pemeriksaan itu.

Tahun lalu, HRW mengecam polis Indonesia kerana memaksa pemohon wanita menjalani pemeriksaan itu.

Dalam kenyataannya HRW berkata, amalan itu mencabul perbezaan jantina dan pemeriksaan itu tidak berasaskan kaedah saintifik bagi menentukan seseorang wanita itu dara atau tidak.

HRW menemuramah 11 rekrut wanita dan tunang pegawai tentera yang menjalani pemeriksaan itu di sebuah hospital tentera di Pulau Jawa. Mereka menggambarkan pemeriksaan itu sebagai sakit, memalukan dan menyebabkan trauma.

Laporan HRW menyatakan seorang pemohon wanita yang diperiksa pada 2013 berkata, dia terkejut kerana doktor pemeriksa ialah lelaki.

“Ia bertentangan dengan hak setiap wanita,” katanya.

Jurucakap tentera Indonesia, Fuad Basya, mempertahankan pemeriksaan itu kerana bertujuan menghalang wanita bermoral rendah menyertai tentera.

“Tentera bertanggungjawab terhadap kedaulatan negara, perpaduan wilayah dan keselamatan seluruh negara,” katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mei 2015 @ 5:29 PM