Model helikopter A UH-1Y Huey milik tentera Amerika yang hilang di Nepal

KATHMANDU: Bangkai helikopter tentera udara Amerika Syarikat yang hilang Selasa lalu, ditemui di kawasan pergunungan namun tidak dapat dipastikan lapan orang di dalamnya selamat atau tidak.

Pegawai tentera Nepal, Mejar Jeneral Binoj Basnet, berkata bangkai helikopter Marin Amerika UH-1Y Huey itu dikesan di perkampungan Ghorthali pada ketinggian 3,400 meter dan sepasukan tentera Nepal sedang menuju ke kawasan itu.

“Ia ditemui berada di lereng gunung, Saya rasa kemungkinan besar tiada yang selamat,” katanya hari ini.

Jurucakap tentera Amerika di Nepal berkata, beliau tidak dapat mengesahkan penemuan bangkai helikopter itu yang hilang di wilayah Dolakha, timur Nepal ketika menghantar bantuan selepas gempa bumi kedua Isnin lalu.

Nepal menggerakkan 600 tentera mencari helikopter itu yang membawa enam askar marin Amerika dan dua tentera Nepal. Juruterbangnya melaporkan helikopter itu menghadapi masalah bahan api sebelum hilang. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mei 2015 @ 3:45 PM