SEORANG lelaki berdiri di celah runtuhan rumahnya yang musnah dalam serangan udara baru-baru ini.
AFP

Sanaa: Pakatan tentera diketuai Arab Saudi semalam menuduh pemberontak Houthi melanggar gencatan senjata.

Ia bagaimanapun menegaskan akan tetap mematuhi perjanjian gencatan lima hari bagi membolehkan agensi bantuan menghantar bekalan kepada penduduk.

Gencatan senjata kemanusiaan yang bermula lewat Selasa lalu adalah yang pertama dalam kempen serangan udara pakatan Arab yang diketuai Arab Saudi sebermula 26 Mac lalu bagi menyokong presiden dalam buangan, Abed Rabbo Mansour Hadi.

Dalam kenyataan disiarkan Agensi Berita Saudi, Riyadh berkata pemberontak disokong Iran itu melanggar perjanjian gencatan sebanyak 12 kali termasuk serangan roket dan tembakan di beberapa pekan di selatan Yaman.

Sementara itu, penduduk berkata, keadaan lebih tenang kecuali di Taez, Daleh dan Marib, tempat pertempuran masih berlaku antara penyokong pemberontak dan pejuang prokerajaan.

Houthi berfahaman Syiah dan sekutu mereka sebelum ini bersetuju mematuhi gencatan senjata itu.

Riyadh juga memberi amaran akan membalas jika ada usaha mengambil kesempatan terhadap gencatan berkenaan.

Lebih 1,500 terbunuh sejak kempen serangan udara bermula, Mac lalu, selain kesan daripada pertempuran antara pasukan prokerajaan dan pemberontak, lapor Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mei 2015 @ 10:51 AM