Madrid: Real Madrid berbelanja lebih AS$227.76 juta (RM813.8 juta) untuk mengumpulkan jentera serangan seperti Cristiano Ronaldo, Gareth Bale dan Karim Benzema tetapi trio itu sekali lagi mengecewakan mereka di separuh akhir kedua Liga Juara-Juara menentang Juventus, awal pagi semalam.

Ronaldo menjaringkan gol hasil sepakan penalti untuk memberikan Real kelebihan pada minit ke-23 di Santiago Bernabeu tetapi aksinya mula pudar di babak kedua manakala Benzema dan terutamanya Bale melepaskan banyak peluang keemasan.

Bekas penyerang Real, Alvaro Morata yang menyertai Juventus hujung musim lalu, muncul wira apabila menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-57 sekali gus membolehkan juara Itali itu melangkah ke final dengan agregat 3-2.

Ledakan Morata itu menamatkan impian Real menjulang mahkota Eropah buat kali ke-11 dan mereka sudah seakan pasti menamatkan musim ini tanpa salah satu daripada tiga kejohanan utama.

Disingkir daripada saingan Piala Raja oleh Atletico Madrid, Januari lalu, mereka kini empat mata di belakang pendahulu La Liga, Barcelona dengan baki dua perlawanan musim ini.

Selepas mengharungi musim pertama dengan penuh bergaya sejurus berpindah dari Tottenham Hotspur, Bale mula dikritik terutama ketika Real dilihat bergelut sejak kebelakangan ini.

Cubaan jarak jauhnya yang berjaya diselamatkan penjaga gol Juve Gianluigi Buffon pada babak pertama menerima tepukan gemuruh penonton tetapi selepas dua lagi cubaannya tidak menemui sasaran, penonton mula hilang sabar.

“Saya tidak dapat menyempurnakan peluang dan ia sangat mengecewakan. Tetapi perkara seperti ini biasa berlaku di dalam bola sepak.

“Biasanya, selagi saya berusaha, salah satu cubaan pasti menerjah jaring tetapi ia tidak berlaku malam ini,” kata pemain sayap Wales itu.

“Persembahan saya agak turun naik musim ini tetapi secara keseluruhan, saya puas hati. Saya tidak banyak menjaringkan gol tetapi secara umumnya, persembahan saya semakin baik.” - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mei 2015 @ 10:38 AM