PEMANAH recurve pula menggunakan panah jenis tradisional yang tidak mempunyai sistem takal.
Oleh Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) Mohamad Yazid Yahya mengharapkan layanan sama rata diberikan kepada pemanah compound dan recurve pada masa depan.

“Apa yang saya maklumkan kami tidak mahu (pemanah compound) terus tercicir. Kami tidak berhasrat menimbulkan kontroversi dengan MSN (Majlis Sukan Negara) dan KBS (Kementerian Belia dan Sukan).

“Mereka (MSN) memang ada membantu namun tidak seperti pemanah recurve nikmati,” katanya sambil menekankan luahan itu sekadar rintihan pihaknya yang mahukan tiada sikap pilih bulu dalam kalangan pemanah.

Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi Ismail menerusi laporan Arena Metro semalam menyangkal dakwaan pemanah compound dipinggirkan apabila menjelaskan pihaknya sentiasa membantu mereka untuk bersaing di kejohanan antarabangsa tertentu.

Malah Ahmad Shapawi berkata, disiplin berkenaan turut berada dalam senarai program jangka panjang MSN.

“Asasnya, apa yang saya ceritakan adalah perkara lalu dan apa yang diceritakan Ahmad Shapawi adalah masa depan.

“Saya akui memang hadir pada mesyuarat blue print April lalu dengan ketetapan dibuat supaya acara compound dan recurve disenaraikan untuk jangka panjang. Namun yang menjadi persoalannya bila pelaksanaannya, kita tidak tahu.

“Masih banyak proses yang harus dilalui, termasuk mendapat persetujuan pelbagai pihak seperti ISN (Institut Sukan Negara) KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) dan sebagainya.

“Saya harapkan dalam proses berkenaan, pemanah compound tidak dilupakan. Mereka perlukan peruntukan seperti yang dinikmati pemanah recurve,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mei 2015 @ 10:20 AM