Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

Kuala Lumpur: Seorang penganggur berusia 26 tahun yang aktif melakukan samun di sekitar Brickfields ditahan bersama dua pistol automatik tiruan dipercayai miliknya di Kuchai Entrepreneur Park, di sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Muhammad Azlee Abdullah berkata, dalam kejadian 11.30 pagi suspek ditahan selepas pihaknya melakukan intipan di kawasan berkenaan sebelum lelaki terbabit berjaya diberkas.

"Kami turut merampas motosikal curi yang digunakan suspek model Honda EX5, pistol automatik tiruan, wang tunai berjumlah RM640 dan telefon bimbit selepas polis memeriksa beg silang yang dibawa suspek.

"Hasil soal siasat membawa polis ke rumah sewa suspek juga di kawasan yang sama di mana polis menemui satu lagi pistol automatik dipercayai tiruan," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, di sini, sebentar tadi.

Beliau berkata, dengan tertangkapnya suspek polis sekurang-kurangnya berjaya menyelesaikan empat kes samun jalanan membabitkan kedai serbaneka di daerah ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mei 2015 @ 6:19 PM