MIMI bakal menamatkan zaman bujang hujung bulan ini.
TIADA dusta antara Mimi dan Jojo One Nation Emcees.
Oleh Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my


Penyanyi tinggi lampai ini kerap dilabel sebagai ‘sempoi’. Ada juga menganggap perwatakannya menggambarkan dia seorang wanita suka bersosial.

Memang benar, pembawaan dirinya juga nampak lebih berani berbanding penyanyi wanita lain, lebih-lebih lagi dia menganggotai kumpulan yang terdiri daripada lelaki.

Shamimi Amalina Norhisham atau Mimi, 27, dari One Nation Emcees tidak dinafikan antara penyanyi wanita yang sentiasa tampil dengan keunikan identitinya sendiri.

Bukan susah untuk dirinya menonjolkan diri kerana bukan saja tinggi lampai, aksinya di pentas sering meninggalkan impak tersendiri dan diingati.

Maka, apabila dia mengumumkan akan bernikah dengan jejaka pilihannya kelmarin, ada yang meragui sama ada dia serius atau tidak.

Mana tidak, orang yang tidak mengenalinya secara dekat kebanyakan mempunyai pandangan skeptikal terhadap keperibadiannya.

“Selama ini ramai suka mereka-reka sendiri pandangan mereka terhadap keperibadian saya tanpa mengetahui dalaman saya yang sebenar. Saya tidak salahkan mereka kerana saya pun memang akui penampilan saya di luar nampak sosial.

“Tapi apabila bercerita mengenai kerja, tanyalah sendiri ahli One Nation Emcees, saya adalah seorang yang sangat serius. Begitu juga mengambil keputusan untuk menamatkan zaman bujang, perkara itu sudah saya fikir masak-masak dan buat keputusan serius,” katanya.

Sudah tiga tahun menjalinkan hubungan serius dengan bakal suami, Firdaus, 29, yang juga seorang pensyarah kolej swasta, Mimi tidak menafikan ia memberi kesan kepada pergerakan kumpulannya.

Situasinya mungkin berbeza terutama bekas kekasihnya, Jojo adalah anggota One Nation Emcees.

“Memang mulanya keadaan agak tegang sedikit antara saya dengan Jojo. Bagaimanapun, demi memikirkan masa depan kumpulan lebih penting, kami ketepikan perasaan itu dan dahulukan profesionalisme.

“Hasilnya, sekarang perkara itu langsung bukan isu besar lagi dan kami sendiri lebih fokuskan kepada perjalanan kerjaya seni dengan baik,” katanya.

Mimi dan Firdaus dijangka bernikah hujung bulan ini, namun ia diadakan secara tertutup atas permintaan keluarga Mimi.

Bantu artis Sabah

Pastinya One Nation Emcees kini maju setapak lagi dalam melebarkan sisi kerjaya mereka apabila mengambil keputusan mahu menaikkan rakan-rakan artis dari Sabah.

Keputusan itu diambil lantaran jaringan yang kuat kumpulan terbabit dengan industri muzik di sana menyebabkan beberapa artis minta pertolongan mereka.

Menurut Mimi, dia sendiri berbesar hati mahu menolong mereka apalagi berbekalkan profil One Nation Emcees sendiri, dia yakin banyak perkara boleh dilakukan demi merealisasikan impian itu.

“Saya sendiri bukan orang Sabah tapi sangat yakin dengan bakat-bakat dari negeri itu. Lagipun yang datang minta pertolongan itu adalah sebenarnya bekas-bekas peserta program realiti dan besar potensinya.

“Cuma, perjalanan mereka terhenti kerana tidak ada ‘jambatan’ yang betul untuk melebarkan sayap ke Kuala Lumpur. Banyak perkara yang kami perlu pertimbangkan terutama ‘grooming’, penghasilan lagu dan lain-lain untuk mereka kelak namun kami sudah sedia realisasikannya,” katanya ketika sidang media Karnival Sukan Pantai Port Dickson di Subang Jaya, Selangor, kelmarin.

Karnival yang akan berlangsung mulai 29 Mei hingga 1 Jun depan itu membabitkan penyertaan ramai artis popular antaranya Altimet, Ila Damiya, Mark Adam, W.A.R.I.S, SleeQ, Salamusik, Shaheizy Sam, Intan Ladyana, DJ Fuzz dan DJ Lin Suria Cinta.

Bukan saja persembahan pentas, artis-artis terbabit akan berada di lokasi memeriahkan setiap acara dipertandingkan kelak triathlon, bola sepak pantai, bola tampar, jet ski, kayak, paragliding, banana boat, tarik tali, sepak takraw dan aerobikton.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mei 2015 @ 8:17 AM