Oleh Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail hairan dengan tindakan Presiden Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) Mohamad Yazid Yahya yang menimbulkan soal peruntukan untuk skuad compound negara.

Yazid dilapor meminta MSN memberikan peruntukan tambahan susulan kejayaan trio compound wanita negara melakar sejarah meraih pingat emas pada Siri Pertama Piala Dunia di China baru-baru ini, apabila mendakwa acara berkenaan sering dipinggirkan kerana tidak dipertandingkan di Sukan Olimpik.

“Saya terkejut apabila beliau menimbulkan perkara ini kerana kami bersama-sama menyertai Bengkel Penulisan ‘Blueprint’ dan sudah berbincang mengenainya. Kami memutuskan acara compound turut tersenarai untuk program jangka panjang yang bakal dilancarkan selepas Sukan SEA. Soal meminta peruntukan itu tidak sepatutnya timbul,” kata Ahmad Shapawi.

Jelas Ahmad Shapawi, selain recurve, pihaknya sentiasa membantu pemanah compound negara menyertai temasya sukan dan kejohanan termasuk di Shanghai walaupun disiplin berkenaan masih belum popular sepenuhnya.

“Sejak dulu kami sememangnya berpendapat acara compound mempunyai potensi untuk melonjakkan nama negara dan ternyata kami tepat.

“Jika berada dalam program jangka panjang, itu bermakna mereka akan mendapat manfaat lebih baik seperti menyertai kejohanan di luar negara, kejurulatihan dan sebagainya,” jelasnya.

Trio compound wanita negara, Fatin Nurfatehah Mat Salleh, Nor Rizah Ishak dan Saritha Cham Nong mengatasi Crystal Gauvin, Angela Bradley dan Lexi Keller dari Amerika Syarikat (AS) 220-219 untuk meraih pingat emas.

Justeru, pemanah compound negara diharap mampu meneruskan kecemerlangan apabila bersaing di Sukan SEA Singapura untuk meraih sekurang-kurangnya tiga pingat emas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mei 2015 @ 7:05 AM