ANGGOTA polis Pakistan berpakaian preman menunjukkan bahan bukti di tempat kejadian.
ANGGOTA separa tentera mengawal bas yang diserang kumpulan militan terbabit.
AFP

Karachi: Sekumpulan lelaki bersenjata menaiki bas yang membawa penduduk berfahaman Syiah di Karachi semalam dan menembak mati sekurang-kurangnya 43 orang dalam keganasan paling buruk di negara itu tahun ini.

Kumpulan militan Jundullah - kumpulan serpihan Taliban Pakistan mengaku bertanggungjawab atas serangan itu.

Polis turut menemui risalah mendakwa serangan dilakukan bagi pihak kumpulan Negara Islam (IS).

Risalah berkenaan bagaimanapun tidak mempunyai lambang IS malah kepemimpinannya di Asia Barat juga tidak membuat pengumuman mengenai sebarang serangan di Pakistan.

Pakistan menyaksikan peningkatan keganasan antara mazhab terutama terhadap Syiah yang merangkumi 20 peratus daripada 200 juta penduduk negara itu.

Ketua polis wilayah Sindh, Ghulan Haider Jamali berkata: “Maklumat awal diterima daripada pihak hospital mengatakan 43 terbunuh dan 13 cedera dalam serangan itu.

“Enam lelaki menaiki tiga motosikal menyerang bas itu dan melepaskan tembakan rambang. Mereka menggunakan pistol 9mm.”

Jurucakap Jundullah - yang sebelum ini melancarkan serangan termasuk di sebuah gereja di Peshawar mengakibatkan kematian 81 orang pada 2013 - mengaku kumpulannya bertanggungjawab terhadap serangan semalam.

Ahmed Marwat berkata, empat - bukan enam - pejuangnya terbabit dalam serangan itu.

“Syiah dan Ahmadi adalah kafir, murtad dan wajar dibunuh,” katanya.

Tidak banyak diketahui mengenai Jundullah namun dipercayai beroperasi di kawasan yang dikuasai suku kaum dan di Karachi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mei 2015 @ 6:39 AM