Gambar Helikopter UH-1Y yang dirakam di Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan, Kathmandu, Nepal, sebelum ini. FOTO AFP
Oleh Yuba Nath Lamsal

Kathmandu: Sebuah helikopter Tentera Udara Amerika Syarikat (AS) dalam misi kemanusiaan di Nepal yang dilanda gempa bumi, didapati hilang di daerah pedalaman pergunungan Dolkka, kira-kira 100 kilometer di timur Kathmandu, kata pihak tentera Nepal.

Helikopter UH-1Y Venom membawa enam anggota Marin AS dan dua askar Nepal bersama dua atendan penerbangan AS dan seorang kapten warga Nepal semasa hilang di daerah Dolkka pada tengah hari semalam, kata Brig Jagdish Chandra Pokhrel, jurucakap kepada tentera Nepal.

"Tidak ada kesan daripada helikopter yang hilang itu ditemui setakat ini tetapi pasukan mencari sudah digerakkan untuk mencarinya," katanya.

Helikopter Bell UH-1Y Venom adalah helikopter bersaiz sederhana dengan enjin berkembar.

Bagaimanapun, menurut Pusat Pemerintah Pasifik AS, enam anggota Marin bersama dua askar Nepal berada dalam helikopter terbabit semasa kejadian.

Sejurus selepas ia hilang sebuah helikopter AS menjalankan kerja mencari tetapi pulang ke Kathmandu pada lewat petang tanpa mendapat sebarang petunjuk.

Jurucakap kementerian dalam negeri Nepal Laxmi Prasad Dhakal yang mengesahkan kehilangan helikopter terbabit berkata, pencarian helikopter itu diteruskan awal pagi Rabu.

Pesawat terbabit sebahagian daripada Squadron 469 Helikopter Tempur Ringan Marin, menurut Pusat Pemerintah Pasifik AS.

Nepal dilanda dua gempa bumi kuat, satu yang berlaku pada 25 April lepas dan satu lagi yang menggegarkan negara itu semalam.

Gempa bumi dengan magnitud 7.8 pada 25 April itu meragut lebih 8,000 nyawa dan gempa bumi dengan magnitud 7.3 semalam setakat ini mengorbankan 68 orang. Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mei 2015 @ 2:12 PM