RAPHAEL Varane (kiri) dan Karim Benzema giat berlatih.
AFP

Madrid: Real Madrid mesti mengatasi defisit 1-2 untuk menghidupkan semula musim mereka apabila Juventus yang dirangsang kehadiran semula Paul Pogba berkunjung ke Santiago Bernabeu pada separuh akhir kedua Liga Juara-Juara, awal pagi esok.

Harapan Los Blancos meraih kejuaraan La Liga pudar sekalipun bangkit daripada ketinggalan 0-2 untuk seri 2-2 dengan Valencia Sabtu lalu ketika Barcelona melonjak empat mata di puncak dengan baki dua perlawanan.

Bagaimanapun, anak buah Carlo Ancelotti bangkit daripada keputusan sama menentang Valencia yang ternyata menjadi tamparan hebat kejuaraan mereka pada peringkat sama musim lalu sebelum memenangi Piala Eropah ke-10 di Lisbon beberapa minggu kemudian.

Kealpaan pertahanan menjejaskan Real akhir-akhir ini kerana mereka dibolosi dua kali dalam empat daripada lima perlawanan terakhir dan pertahanan kanan Dani Carvajal menegaskan mereka perlu berhati-hati dengan serangan balas pantas Juventus.

“Kami perlu menang, ia asasnya. Bagaimanapun hakikatnya kami perlu bertenang, sabar dan tidak bertindak gila,” katanya.

“Perlawanan selama 90 minit dan kami perlu menyukarkan Juventus dengan lebih banyak memegang bola.”

Carvajal menghadiahkan penalti yang disempurnakan Carlos Tevez selepas satu serangan balas pantas yang membolehkan kelab Itali itu meraih kelebihan pada separuh akhir pertama minggu lalu.

Dia percaya Real tidak akan bermurah hati di depan penyokong sendiri di Bernabeu.

“Mereka mencipta bahaya kerana kami memberikan bola kepada mereka hasil kesilapan sendiri. Saya fikir kami perlu lebih tenang, sabar, menguasai bola dan dengan cara itu kami boleh menang.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mei 2015 @ 5:22 AM