Oleh Afiq Hanif
afiq_hanif@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: MSC Malaysia mencatatkan pendapatan RM38.52 bilion tahun lalu iaitu peningkatan sehingga 11 peratus berbanding tahun sebelumnya dengan menyaksikan sumbangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) negara kepada 1.3 peratus bagi Keluaran Negara Kasar (GDP).

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC), Datuk Yasmin Mahmood berkata, ia turut mencatatkan sejumlah RM20.09 bilion pelaburan dalam negara yang berupaya meningkatkan kualiti ICT tempatan.

“Daripada pelaburan terbabit, 55 peratus datang dari pelaburan terus tempatan manakala selebihnya adalah pelaburan asing,” katanya ketika membentangkan prestasi ICT negara di Kuala Lumpur, semalam.

Hadir sama Ketua Pegawai Operasi MDeC, Ng Wan Peng.

Beliau berkata, pelaburan sejumlah RM17.16 bilion datang dari pelabur semasa manakala RM2.93 bilion lagi diperoleh daripada pelabur baru.

“Jualan eksport pula berjumlah kira-kira RM13.73 bilion yang menyaksikan pertumbuhan 11 peratus berbanding 2013 manakala pertumbuhan peluang kerja juga meningkat tujuh peratus apabila 9,497 peluang kerja baru dibuka tahun lalu,” katanya.

Yasmin berkata, pertumbuhan terbabit membolehkan MDeC memberi semula tumpuan dan menyusun usaha memperkukuhkan industri pembangunan MSC Malaysia pada tahun ini.

“Ia akan dilaksanakan dengan memperkukuhkan industri yang dikategorikan sebagai pasaran khusus atau ‘niche’ sedia ada seperti perkhidmatan perniagaan global, Malaysia sebagai hub permainan, perkomputeran ‘cloud’ dan perkhidmatan kandungan,” katanya.

Katanya, bagi membawa nilai tinggi kepada ICT di Malaysia, negara ini memerlukan ‘hero global’ baru dan MDeC berhasrat membantu merealisasikannya dengan akses pasaran lebih besar untuk mengeksport produk.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mei 2015 @ 12:56 PM