CITA Citata.
‘SAKITNYA Tuh Di Sini’.
PERSEMBAHAN Cita yang bertenaga memukau semua yang hadir.
CITA turun ke bawah pentas melayani peminatnya.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my


Cukup hanya menyampaikan lapan lagu, namun penyanyi dangdut terkenal Indonesia Cita Citata tetap berupaya membuat peminat yang hadir ke konsert mininya, Cita Citata Live @KL Tower Sakitnya Tuh Di Sini di pekarangan Menara Kuala Lumpur (MKL) petang kelmarin, terhibur.

Jelas, kemunculan penyanyi berusia 21 tahun ini ditunggu-tunggu lebih 1,000 peminatnya dalam kalangan penonton tempatan dan warga Indonesia yang seakan tidak sabar mahu melihat aksinya di atas pentas.

Malah, seawal jam 3 petang kawasan itu sudah dibanjiri peminat walaupun persembahan Cita hanya bermula pada jam 6 petang.

Kemunculan Cita disambut dengan sorakan gemuruh dan penyanyi comel ini tidak menunggu masa lama apabila menghiburkan peminat dengan lagu pertamanya Aku Mau Apa Atuh.

Pengalamannya menyanyi sejak berusia 11 tahun di pelbagai majlis digunakan sebaiknya oleh Cita yang bijak berkomunikasi dengan penonton.

“Luar biasa sambutannya. Sakitnya di mana?” katanya disambut dengan pekikan Sakitnya Tuh Di Sini oleh penonton.

Lebih daripada itu, penyanyi bernama sebenar Cita Rahayu ini juga selamba turun ke bawah pentas untuk mengusik serta bergoyang dengan peminat.

“Mahu yang perawan atau janda?” usiknya kepada seorang penonton lelaki. Ayat ini juga diucapkan berulangkali membuatkan suasana semakin gamat dengan sorakan peminat.

Kesempatan ini juga tidak dilepaskan mereka yang berebut-rebut mengambil gambarnya sehingga memaksa pengawal keselamatan bekerja keras mengawal keadaan.

Paling mengagumkan, gadis kelahiran Bandung ini dilihat mempunyai kekuatan stamina ketika beraksi. Tidak nampak langsung dia ‘pancit’ ketika mendendangkan lagunya sambil bergelek di atas pentas.

Hampir sejam beraksi, Cita menghiburkan peminat dengan rangkaian lagu-lagunya iaitu Aku Mau Apa Atuh, Meriang, Kau Tercipta Untukku, Jangan Ganggu Pacarku, Pernikahan Dini dan Perawan Atau Janda.

Sudah tentu dia memilih menyampaikan lagu Sakitnya Tuh Di Sini sebagai lagu terakhir yang turut sama dinyanyikan oleh semua yang hadir menonton.

Sehari sebelum itu, penyanyi ini mengadakan konsert mini di Plaza Angsana, Johor Bahru yang turut mendapat sambutan hangat.

Tak sangka dapat beraksi di Malaysia

Ditemui pada sidang media selepas itu, Cita mengakui teruja dapat menghiburkan peminat di Malaysia.

“Saya tak sangka akhirnya boleh beraksi di Malaysia. Semalam (Sabtu) saya menghiburkan peminat di Johor dan hari ini (Ahad) di Kuala Lumpur pula. Ternyata ramai peminat saya di sini.

“Selama ini saya hanya meninjau Twitter yang banyak cakap-cakap membincangkan mengenai persembahan saya di Malaysia. Akhirnya saya sudah buat konsert mini di sini,” katanya yang pulang ke Bandung, Indonesia semalam dan terus terbabit dengan persembahan di sana.

Mengulas mengenai staminanya, Cita berkata, ia diperolehi menerusi minda yang positif dan bukan mengamalkan apa-apa amalan lain.

“Saya selalu fikir yang positif ketika sedang membuat persembahan. Untuk kali ini saya hanya menyampaikan lapan lagu. Manusia itu tiada yang puas kerana sentiasa ingin lagi dan lagi.

“Begitu juga saya yang rasa jumlah lagu ini sangat sedikit. Apapun saya gembira kerana sambutan peminat Malaysia sama seperti di Indonesia,” katanya.

Ditanya kenapa tidak memperkenalkan tarian sendiri seperti Inul Daratista yang popular menerusi Goyang Inul, Cita berkata, dia bukan dilahirkan dalam genre dangdut.

“Saya asalnya membesar dengan lagu jazz sebelum beralih ke dangdut. Jadinya, saya tidak bisa goyang,” katanya.

Biarpun popularitinya dikecapi dalam tempoh sepantas lapan bulan, Cita mengakui pengalaman yang diperoleh dalam bidang seni banyak mematangkan dirinya.

“Setiap perkara yang dilalui ada pembelajarannya dan pengalaman ini membuatkan saya dewasa. Ada yang membandingkan populariti saya dengan Ayu Ting Ting tapi saya lebih suka jadi diri sendiri.

“Saya juga baik dengan semua artis lain dan tidak mempunyai sebarang masalah. Cuma saluran infotainmen amat banyak di Indonesia dan setiap bahan pasti akan jadi perbincangan hangat,” katanya.

Mengakui tiada rehat kerana sibuk dengan undangan menyanyi, Cita bersyukur kerana perjalanan hidupnya semakin membahagiakan.

“Ya awalnya saya berasa penat jadi popular kerana jadual menyanyi yang padat, tapi penat itu hilang apabila melihat sambutan peminat yang sangat hebat.

“Setiap hari saya bekerja tanpa ada rehat tapi saya suka dengan apa yang dilakukan,” katanya yang menjadikan Agnes Monica sebagai idola.

Merahsiakan jumlah pendapatan yang diperolehnya sekarang, Cita mengakui mempunyai perancangan untuk memiliki rumah baru.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mei 2015 @ 12:28 PM