PEGUAM memegang portret Jayalalithaa ketika meraikan pembebasannya.
Reuters

Bangalore (India): Bekas bintang filem dan ketua parti Tamil terbesar India, Jayalalithaa Jayaram semalam dibebaskan daripada tuduhan rasuah seterusnya memungkinkannya kembali ke arena politik negara itu.

Tiga tertuduh yang didakwa melakukan kesalahan itu bersamanya turut dibebaskan.

Jayalalithaa terpaksa meletak jawatan sebagai ketua menteri Tami Nadul selepas didapati bersalah September lalu atas tuduhan mengaut keuntungan secara haram ketika memegang jawatan itu.

Bekas bintang filem berusia 67 tahun itu dipenjara empat tahun dan didenda 1 bilion rupee (RM56,000) dalam kes itu yang berlangsung selama hampir dua dekad.

Bagaimanapun, semalam, Hakim Mahkamah Tinggi C R kumaraswamy membenarkan rayuannya selepas prosiding singkat.

Pendakwa B V Acharya berkata: “Kami tidak melihat sebarang sebab untuk mengemukakan rayuan. Kes ini sudah selesai.”

Walaupun Jayalalithaa terpaksa meletak jawatan sebagai ketua menteri, dia masih menerajui partinya sepanjang kes ini berlangsung berikutan dibebaskan dengan jaminan.

Dia amat popular di Tamil Nadu dan dipanggil ‘Amma’ (ibu) oleh penyokongnya, malah golongan menteri juga pernah dilihat tunduk hormat kepadanya.

Keputusan mahkamah itu disambut sorakan pengikutnya yang mengedarkan manisan serta membakar mercun di luar mahkamah.

Ratusan penyokong yang berhimpun di luar rumahnya di Chennai juga membawa gambarnya sambil melaungkan ‘Amma, Amma.’

Anggota partinya, All India Anna Dravida Munnetra Kazhagam (AIADMK) William Rabi Bernard berkata: “Kes ini memang tidak berasas dan semata-mata usaha membalas dendam serta merosakkan kredibilitinya sebagai ahli politik.

“Dia akan mengambil alih semula sebagai ketua menteri di sini dalam tempoh kurang dua minggu.”

Tuduhan rasuah itu difailkan pada 1996 dan sejak dulu lagi dianggap Jayalalithaa sebagai bermotifkan politik.

Dia didakwa pada 1997 apabila polis merampas aset termasuk 28 kilogram emas, 750 pasang kasut dan lebih 10,000 sari di rumahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mei 2015 @ 7:15 AM