Anggota bomba mengeluarkan mata kail yang tertusuk di leher dan perut anak kucing, semalam. FOTO ihsan bomba
Oleh Muhamaad Razis Ismail
am@hmetro.com.my


Machang: Anak kucing yang tertusuk mata kail di leher dan perutnya diselamatkan anggota bomba di Balai Bomba dan Penyelamat Machang, di sini, 6.35 petang semalam.

Anak kucing itu diselamatkan pada 6.35 petang selepas pemilik kucing yang berusia 20-an dari bandar Machang datang ke balai bomba untuk mendapatkan bantuan anggota bomba mengeluarkan mata kail berkenaan.

Difahamkan, mata kail itu tertusuk pada leher dan perut kucing itu selepas anak pemilik haiwan itu bermain dengan mata kail.

Pegawai Bomba dan Penyelamat Machang Zulbadri Hassan berkata, anggota bomba mengambil masa kira-kira lima minit untuk mengeluarkan mata kail itu dengan pengepit.

"Haiwan itu hanya mengalami luka ringan di lehernya.

"Selepas itu pemilik kucing itu membawanya pulang ke rumah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mei 2015 @ 3:58 PM