INDUSTRI bidi berkembang pesat dan membawa pelbagai masalah kesihatan.
ROKOK daun yang dikaitkan dengan kanser.
BIDI yang diikat kemudiannya dipek dan dimasukkan ke dalam kotak untuk dipasarkan.
Susunan Norlaila Hamima Jamaluddin
laila@hmetro.com.my


Zainab Begum Alvi dan kumpulan pembantunya yang masih muda masing-masing duduk di depan bakul dipenuhi daun dan serpihan tembakau kering. Semuanya tekun menggulung 1,000 batang rokok daun sehari untuk saudagar bidi yang terkenal dan berpengaruh di India.

“Saya terpaksa kerja, dalam apa keadaan walaupun saya tidak sihat. Saya tiada pilihan,” kata Zainab yang mendapat upah 70 rupee (kira-kira RM4) untuk kerja menggulung rokok daun tembakau kering (dipanggil bidi) selama 12 jam sehari.

“Di sini tiada kerja lain kecuali ini. Jadi mahu tidak mahu, saya terpaksa juga lakukannya. Saya tidak pandai buat kerja lain,” tambah Zainab, wanita berusia 50-an, bertubuh kecil dan kurus yang tinggal di negeri miskin di utara India, Uttar Pradesh.

Kira-kira 70 juta penduduk India menghisap rokok bidi yang digulung secara manual oleh tenaga buruh murahan seperti Zainab dan saudara-maranya.

Pasaran rokok bidi di India amat besar, jauh meninggalkan pesaingnya, rokok komersial yang bertapis dan bersalut kertas de­ngan lapan nisbah satu. Ini memberikan saudagar bidi kekuatan dalam kewa­ngan dan pengaruh politik di mana pengkritik berkata, ia menjadi antara faktor yang berjaya menolak cadangan untuk meletakkan amaran kesihatan bersaiz lebih besar pada kotak rokok bidi.

Tiga penggubal undang-undang daripada Parti Bharatiya Janata yang turut menjadi jawatankuasa parlimen kini meneliti isu berkenaan yang mendapat kutukan apabila mereka mendakwa tidak cukup bukti untuk mengatakan bidi boleh menyebabkan kanser.

“Tiada bukti perubatan yang menunjukkan bidi menyebabkan kanser,” kata Shyama Charan Gupta, salah seorang daripada tiga penggubal undang-undang dan memiliki salah satu daripada syarikat pengeluar jenama bidi paling laris.

“Semua maklumat yang mengelirukan ini sengaja direka oleh badan bukan kerajaan, beberapa doktor dan gerakan melobi antibidi,” katanya.

Sejak dulu lagi bidi dipasarkan sebagai produk ‘semula jadi’, yang dibungkus dengan daun dan tidak diproses atau mengandu­ngi bahan tambahan.

Namun penggerak kempen seperti Prakash C Gupta mempertikaikan kenyataan berkenaan dan mendakwa bidi lebih berbahaya berbanding rokok biasa kerana ia dihisap dalam kuantiti yang ba­nyak dan lebih kerap.

“Industri bidi ada pengaruh politik yang amat besar. Penggerak industri bidi terdiri daripada orang politik yang memegang jawatan tinggi dalam semua parti,” kata Gupta, antara penyelidik yang giat menjalankan kajian kesan tembakau ke atas kesihatan.

Menurut data kerajaan, setiap tahun 900,000 penduduk India meninggal dunia kerana penyakit yang berkaitan dengan tembakau. Penyelidik juga memberitahu angka kematian ini boleh mencecah 1.5 juta pada penghujung abad ini jika tiada langkah pencegahan dilakukan.

Dari segi harga, memang tiada jenama rokok biasa yang boleh menandingi bidi. Mana tidaknya, harga satu kotak 20 batang rokok biasa harganya melebihi 150 rupee (RM8.50), sedangkan satu ikat yang mempunyai 15 batang bidi dijual pada harga lima rupee saja. Kadar cukai yang rendah juga membolehkan bidi dijual pada harga murah.

Kebanyakan penghisap bidi adalah lelaki miskin yang tinggal di kawasan luar bandar, tetapi kesan negatif rokok daun ini tidak terhad kepada perokok saja.

Ini kerana menurut laporan Kesatuan Semua Pekerja Bidi, Tembakau dan Cerut India, 90 peratus daripada hampir 5.5 juta penggulung bidi adalah wanita dan kerajaan menganggarkan satu perempat (25 peratus) tenaga buruh dalam industri ini membabitkan kanak-kanak dan kebanyakan penggulung bidi tidak merokok.

Namun kajian menunjukkan pendedahan berterusan kepada habuk tembakau dan ramai mengalami penyakit pernafasan termasuklah tuberkulosis dan asma, selain masalah kulit dan postur badan (kerana sentiasa duduk membongkok).

Kajian pada 2010 ke atas penggulung bidi di negeri Bihar mendapati, lebih 70 peratus pekerja mengalami masalah mata, gastrousus dan saraf serta lebih separuh menderita masalah pernafasan.

“Kerja ini (menggulung bidi) boleh memberi tekanan pada belakang badan selain membawa pelbagai masalah kesihatan. Apa yang menyedih­kan ialah pampasan yang diberikan kepada mereka amat kecil,” kata Alok Mukhopadhyay, ketua Persatuan Sukarelawan Kesihatan (VHAI) yang membuat kajian ke atas kesengsaraan penggulung bidi.

Undang-undang yang digubal pada 1960-an dan 70-an untuk memperbaiki kebajikan pekerja hanya menggalakkan pengusaha memecahkan pengeluaran kepada unit kecil bagi me­ngelakkan daripada dikenakan tindakan, dengan adanya manfaat tambahan seperti pengecualian cukai untuk pengeluar yang melaporkan menghasilkan kurang daripada dua juta bidi setahun.

Sebahagian besar proses membuat bidi secara manual yang kebanyakannya dilakukan di rumah atau oleh individu persendirian untuk perusahaan bersaiz sederhana yang mengeluarkan jenama terkenal di India.

Bentuk perusahaan beginilah yang menyukarkan pengiraan pendapatan industri bidi, namun dianggarkan industri ini menghasilkan antara 750 juta hingga 1.2 trilion batang bidi setahun yang bernilai berbilion ringgit.

Di bilik belakang ‘kilang bidi’ seperti di rumah Zainab di daerah Kannauj di Uttar Pradesh, pemandangan kanak-kanak bekerja bersama ahli keluarga dan saudara-mara mereka adalah perkara biasa. Mereka mengorbankan keriangan zaman kanak-kanak membantu keluarga bekerja untuk mencapai kuota yang ditetapkan.

“Saya tidak suka kerja ini,” kata Seema, 14, anak saudara Zainab sekembalinya dari sekolah.

“Saya mahu lebih lama belajar di sekolah, tetapi tidak boleh kerana terpaksa membantu menggulung bidi,” sambungnya yang memberitahu impiannya untuk menjadi guru.

Di Kilang Bidi New Sarkar sekumpulan pekerja terdiri daripada lelaki dewasa dan remaja tangkas bekerja membungkus bidi dalam ruang yang malap. Bidi yang dibungkus dalam peket berwarna-warni kemudiannya dimasukkan ke dalam kotak.

Pengurus besarnya, Quazi Naseem Ahmed memberitahu, perolehan syarikatnya sebanyak 400 juta rupee (RM22.8 juta) setahun daripada 16 kilang. Dia menegaskan remaja lelaki yang bekerja di syarikatnya nampak seperti bawah umur kerana keadaan fizikal yang kecil akibat kuat bekerja.

Walaupun dia mengakui kerja dalam industri bidi ini amat sukar, Ahmed menolak cakap-cakap yang mengaitkan rokok daun itu dengan kanser.

“Memang mereka nampak lemah, kotor, cepat penat dan daya ketahanan badan juga rendah. Tetapi mereka tidak menghidap penyakit seperti TB atau kanser,” katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mei 2015 @ 2:44 PM