SATHIA manu penjelasan lebih terperinci.
Oleh Mohd Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Saya lebih rela dipecat daripada direhatkan.” Itu luahan hati pengendali Angkatan Tentera Malaysia (ATM) B Sathianathan sekali gus mengharapkan akan ada noktah kepada masalah yang sedang menimpa dirinya ketika ini.

Secara tidak langsung, Sathianathan mengharapkan supaya ATM melepaskannya secepat mungkin sekiranya sudah tidak lagi berminat untuk menggunakan khidmatnya.

Menurut beliau, kontraknya bersama skuad The Gladiators sepatutnya berakhir penghujung musim ini namun sekiranya Persatuan Bolasepak ATM (PBATM) masih mahu membiarkan beliau ‘berehat’ hingga tempoh itu, Sathianathan lebih rela berundur dengan kontraknya ditamatkan segera.

“Saya ibarat digantung tak bertali. Mereka (PBATM) mahu saya jalankan tugas-tugas seperti memantau latihan dan menjadi penasihat kepada pasukan senior dan junior (skuad Piala Presiden), tetapi dalam kontrak tidak ada pula dinyatakan tugas-tugas macam itu.

“Saya hanya dilantik sebagai pengurus dan ketua jurulatih pasukan senior, macam mana pula mereka boleh arahkan saya lakukan kerja tambahan seperti itu. Ia jelas menyalahi peraturan kontrak dan nampak sangat mereka tidak menghormati ikatan kontrak.

“Lagipun macam yang saya katakan sebelum ini, kalau saya turun latihan sekalipun dan cuba beri nasihat kepada pasukan (jurulatih sementara Shahrin Majid), adakah beliau mahu ikut. Sudah pasti tidak. Jadi apa sebenarnya yang mereka mahu dengan terus mengikat saya di sini,” katanya.

Dalam laporan Arena Metro sebelum ini, jurulatih The Gladiators itu diarah berehat serta-merta susulan prestasi hambar ATM musim ini. Namun, tindakan melulu yang kurang profesional Timbalan Presiden PBATM Mejar Jeneral Datuk Mazelan Kasap apabila mengumumkan keputusan berkenaan menimbulkan rasa kurang senang kepada bekas jurulatih kebangsaan terbabit.

Bermula daripada insiden itu, kemelut kedua-dua pihak bertambah kusut selepas PBATM mengeluarkan surat rasmi yang menyatakan istilah rehat sebenar kepada Sathianathan namun jurulatih itu mempertikaikan surat yang disifatkannya tidak adil.

Lantas, pengendali berusia 56 tahun terbabit menuntut penjelasan lebih terperinci dengan mengharapkan bakal adanya perbincangan untuk mengatasi segala kemelut yang berbangkit. Namun, selepas tempoh menunggu tujuh hari tamat pada Selasa lalu, Sathianathan terpaksa mengheret ATM ke meja Jawatankuasa Status Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk mendapatkan keadilan.

“Ya, saya sudah membuat laporan kepada FAM Khamis lalu. Saya mahu isu ini ditamatkan segera dan berakhir dengan kebaikan buat kedua-dua belah pihak,” katanya.

Ketika ditanya mengenai peningkatan ATM sejak dikendalikan Shahrin Majid apabila berjaya meraih satu kemenangan dan dua keputusan seri berbanding ketika beliau menjawat jawatan pengurus, Sathianathan berkata: “Saya ucapkan tahniah kepada beliau dan pasukan, mudah-mudahan mereka akan bangkit untuk perbaiki kedudukan dalam liga.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mei 2015 @ 7:59 AM